Jalur Gemilang
Berita :
Monsun Timur Laut Dijangka Bermula 27 Oktober Ini
Monsun Timur Laut Dijangka Bermula 27 Oktober Ini
Noraini Jusoh
10 jam yang lepas
152

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac 2027 dengan risiko hujan lebat berterusan, banjir serta laut bergelora pada fasa awal monsun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, untuk tempoh November 2026 hingga Januari 2027, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku dan berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai serta kawasan tanah rendah.

"Tiupan angin timur laut yang konsisten dan kencang turut berisiko mengakibatkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.

"Menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah," ujar kenyataan itu. 

Katanya, keadaan cuaca panas dan kering itu juga berpotensi mencetuskan gelombang haba lebih ekstrem susulan pengaruh fenomena El Nino sangat kuat (Super) yang sedang berlaku.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat persediaan awal dan sentiasa peka terhadap maklumat, nasihat serta amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

"Maklumat terkini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia atau talian hotline 1-300-22-1638, "ujar kenyataan tersebut. 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan