KUALA NERUS, 6 Oktober – Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan pantai di Batu Rakit yang semakin mengancam beberapa kediaman penduduk, khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, perhatian segera perlu diberikan selepas menerima aduan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk kawasan berkenaan.
Menurutnya, beberapa buah rumah dikenal pasti berada dalam keadaan berisiko terjejas sekiranya hakisan semakin serius ketika musim MTL.
“Kerajaan Negeri akan membantu dan mengambil tindakan segera bagi melindungi kediaman yang berisiko terjejas.
"Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan penduduk, lebih-lebih lagi apabila Monsun Timur Laut semakin hampir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke lokasi hakisan pantai di Batu Rakit bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta mengenal pasti langkah yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko terhadap keselamatan penduduk.

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut mendapatkan pandangan teknikal daripada jabatan dan agensi berkaitan bagi menentukan langkah bersesuaian yang boleh dilaksanakan di kawasan tersebut.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah, Jurutera Daerah JPS Kuala Nerus, Ir. Aisyah Abu Bakar, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta beberapa agensi berkaitan.
Dalam masa sama, pihaknya akan terus memantau perkembangan hakisan pantai di kawasan berisiko serta memastikan aspek keselamatan dan kebajikan penduduk diberikan keutamaan, terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut.
