Jalur Gemilang
Berita :
Wanita Perlu Diberi Ruang Lebih Luas Dalam Membuat Keputusan
Wanita Perlu Diberi Ruang Lebih Luas Dalam Membuat Keputusan
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
65

KUALA NERUS, 6 Oktober – Usaha memperkasakan wanita tidak seharusnya terhenti pada program, latihan dan pembangunan kemahiran, sebaliknya perlu disusuli peluang lebih luas untuk terlibat dalam kepimpinan serta proses membuat keputusan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, pandangan, pengalaman dan kepakaran wanita perlu menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri.

Menurutnya, ruang itu perlu dibuka secara berperingkat, bermula di peringkat akar umbi, komuniti dan organisasi hingga ke agensi serta institusi di peringkat negeri dan negara.

“Penglibatan wanita dalam membuat keputusan perlu ditingkatkan. Wanita perlu diberikan peluang untuk menyumbang pandangan, pengalaman dan kepakaran dalam proses-proses yang memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kepimpinan Wanita Negeri Terengganu Siri Ke-2 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, semalam.

Zuraida berkata, kewujudan Dasar Wanita Terengganu menjadi antara usaha penting untuk memastikan agenda memperkasakan, melindungi dan memajukan wanita dilaksanakan secara lebih tersusun.

Katanya, pembangunan wanita berkait rapat dengan pembangunan masyarakat, memandangkan peranan mereka dalam keluarga, komuniti, pendidikan, keusahawanan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Apabila wanita berdaya, keluarga akan mendapat manfaat dan apabila keluarga berdaya, masyarakat akan menjadi lebih dinamik.

“Apabila masyarakat kuat, negeri kita juga akan menjadi semakin kukuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, masih terdapat wanita yang mempunyai pendidikan, kemahiran dan kebolehan tetapi meragui kemampuan sendiri apabila diberi peluang memimpin.

Menurutnya, keadaan itu bukan kerana mereka tidak mempunyai potensi kepimpinan, sebaliknya kurang yakin untuk tampil ke hadapan.

“Kadang-kadang masalah kita bukan kita tidak ada kepimpinan. Kadang-kadang masalahnya kita tidak yakin dengan kebolehan yang Allah kurniakan kepada kita dan kita rasa rendah diri.

“Ada yang apabila diminta tampil ke hadapan, berkata biarlah orang lain dahulu kerana merasakan tidak cukup pandai atau tidak cukup bersedia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kursus pengukuhan kepimpinan wanita penting untuk membina keyakinan, keberanian dan kesediaan peserta menerima tanggungjawab dalam masyarakat.

Beliau turut menggesa peserta menggunakan ilmu dan pengalaman daripada kursus berkenaan untuk meningkatkan sumbangan dalam komuniti masing-masing.

“Saya tidak mahu puan-puan pulang hari ini sebagai peserta yang hanya duduk di kerusi sahaja. Tetapi saya mahu puan-puan pulang sebagai wanita yang lebih berani, lebih bersedia dan lebih yakin bahawa saya juga mampu memimpin,” katanya.

Zuraida berkata, wanita perlu melihat kepimpinan sebagai amanah yang boleh digalas berdasarkan kemampuan dan pengalaman masing-masing, bukannya tanggungjawab yang hanya layak disandang golongan tertentu.

“Daripada tidak tahu, lahirlah keyakinan. Daripada keyakinan, lahirlah keberanian. Daripada keberanian, lahirlah kepimpinan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan