Jalur Gemilang
Berita :
Faedah Jutaan Ringgit Wang e-Jamin Milik Siapa, Soal Ahli Parlimen Besut
Faedah Jutaan Ringgit Wang e-Jamin Milik Siapa, Soal Ahli Parlimen Besut
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
41 minit yang lepas
37

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan diminta menjelaskan siapa yang berhak menerima hasil faedah daripada wang jaminan mahkamah yang disimpan dalam akaun bank komersial melalui sistem e-Jamin, yang dianggarkan mencecah RM4 juta hingga RM5 juta setahun.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, membangkitkan persoalan itu dengan merujuk penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang merekodkan baki dana aktif dalam akaun syarikat Dapat Vista sebanyak RM191 juta pada akhir 2023.

Menurutnya, tempoh prosiding mahkamah yang panjang menyebabkan sejumlah besar wang jaminan terkumpul dalam akaun berkenaan.

“Disebabkan prosiding mahkamah mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun, terdapat dana yang amat besar terkumpul dalam akaun bank rakan strategik e-Jamin ini.

“Jadi persoalannya, apabila wang ini disimpan dalam akaun bank komersial dan menghasilkan faedah sekitar RM4 juta hingga RM5 juta setahun, siapa sebenarnya yang berhak terhadap hasil tersebut?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Penyata PAC mengenai Pengurusan Perkhidmatan Bayaran Wang Jaminan Mahkamah melalui Sistem e-Jamin di Dewan Rakyat.

Che Mohamad Zulkifly berkata syarikat berkenaan pada asalnya menganggap hasil faedah itu sebagai pendapatan atau bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan.

Bagaimanapun, menurutnya, PAC kemudian memutuskan bahawa hasil tersebut merupakan hak kerajaan kerana terhasil daripada wang awam.

“Kalau hasilnya RM4 juta hingga RM5 juta setahun, saya cadangkan ia dipulangkan kepada kerajaan ataupun kepada pendeposit yang meletakkan wang jaminan tersebut,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pengawasan ketika perjanjian awal dengan penyedia sistem itu dimeterai, khususnya berhubung status hasil faedah wang jaminan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memperincikan ketetapan dalam rundingan perjanjian baharu dengan Dapat Vista bagi menyelesaikan kekeliruan tersebut.

Selain pengurusan dana, Che Mohamad Zulkifly membangkitkan kesukaran menggunakan e-Jamin di kawasan pedalaman yang masih berdepan masalah capaian internet.

Katanya, penjamin memerlukan sambungan internet yang stabil untuk mengisi maklumat, menerima kod pengesahan sekali guna (OTP) dan memuat turun resit rasmi.

Keperluan itu boleh menyukarkan urusan di sesetengah mahkamah, khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak serta kawasan lain yang mempunyai liputan tidak stabil.

“Adakah terdapat inisiatif menyediakan kemudahan Wi-Fi percuma ataupun infrastruktur internet khas di kompleks mahkamah pedalaman bagi memastikan proses e-Jamin tidak tergendala?” soalnya.

Beliau turut merujuk gangguan sistem selama tiga hari pada Mei 2024 yang menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran pembayaran wang jaminan.

Susulan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sama ada terdapat prosedur operasi standard (SOP) kecemasan atau pelan luar jangka bagi memastikan tertuduh tidak terus ditahan atau direman hanya kerana transaksi gagal diselesaikan.

“Jika gangguan sedemikian berlaku sehingga menyebabkan transaksi gagal diselesaikan pada hari yang sama, apakah kesannya kepada tertuduh?” katanya.

Dalam perbahasan sama, Che Mohamad Zulkifly mencadangkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan merangka penyelesaian jangka panjang bagi mengurus kutipan wang jaminan tanpa terlalu bergantung kepada vendor swasta.

Katanya, pembangunan modul jaminan melalui sistem e-Kehakiman atau e-CF boleh diteroka sebagai sistem sandaran, di samping memperkukuh pemilikan dan kawalan kerajaan terhadap data.

Beliau berkata pendigitalan melalui e-Jamin merupakan langkah baik untuk memodenkan sistem keadilan, tetapi keberkesanannya perlu dinilai melangkaui kecanggihan teknologi.

“Keberkesanan sesuatu sistem bukan hanya pada kecanggihannya, tetapi pada keteguhan infrastruktur, kesiapsiagaan pelan luar jangka, ketelusan pengendalian dana awam serta kebolehcapaiannya kepada seluruh rakyat tanpa mengira kawasan bandar mahupun pedalaman,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan