Berita :
Festival Adu Kolek Perkukuh Identiti Masyarakat Terengganu
Festival Adu Kolek Perkukuh Identiti Masyarakat Terengganu
Adli Mohamad
2 jam yang lepas
91

KUALA NERUS, 14 Jun - Festival Adu Kolek yang dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dengan kerjasama pelbagai agensi bukan sekadar menghidupkan kembali nostalgia, malah berfungsi sebagai medium memperkukuh identiti masyarakat Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Mohd Azmi Mohd Daham berkata, penganjuran Festival Adu Kolek itu merupakan usaha mengimbau kembali nostalgia serta memartabatkan warisan perahu tradisional yang telah lama berjasa kepada para nelayan serta penduduk pesisi pantai di negeri ini.

"Saya percaya dengan acuan strategi yang kemas bersama kerajaan negeri serta langkah-langkah penambahbaikan yang berterusan pada masa hadapan, kita mampu melonjakkan jenama 'Adu Kolek' ini sebagai satu kejohanan sukan air bertaraf antarabangsa pada suatu hari nanti.

"Sukan Adu Kolek ini bukanlah sekadar sebuah wahana untuk kita memulih serta memelihara warisan nenek moyang daripada lenyap ditelan zaman.

"Malah, ia merupakan inisiatif strategik bagi menyemai kecintaan generasi baharu pada seni warisan bangsa dan memupuk rasa bangga terhadap budaya tradisional yang menjadi jati diri serta identiti masyarakat kita,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Festival Adu Kolek 2026, di Kampung Jeram Hulu, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato' Tengku Mohd Ariffin Tengku A.Rahman.

Dalam pada itu Tengku Mohd Ariffin berkata, pemilihan lokasi di Sungai Nerus, Kampung Jeram Hulu untuk edisi pada kali ini adalah langkah tepat bagi mengembalikan tradisi perlumbaan perahu antara kampung pesisir sungai yang ikonik.

"Dari sudut pemuliharaan, festival ini merupakan kesinambungan kepada acara bersejarah yang pernah mewarnai Pengkalan Syahbandar, Kuala Terengganu, sehingga sekitar tahun 1980-an dahulu,"jelas beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan