Jalur Gemilang
Berita :
Gasing Uri Jadi Wadah Pelihara Warisan
Gasing Uri Jadi Wadah Pelihara Warisan
Norekwan Mamat
8 jam yang lepas
93

BESUT, 12 Oktober – Permainan tradisional gasing uri perlu terus dipelihara dan diketengahkan sebagai sebahagian daripada warisan seni budaya, selain berpotensi menjadi tarikan pelancongan serta pengisian program kebudayaan pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata permainan gasing bukan sekadar aktiviti tradisional, sebaliknya mempunyai nilai warisan yang mencerminkan kemahiran, kekuatan, teknik, ketelitian dan semangat kerjasama diwarisi sejak turun-temurun.

“Lebih penting, warisan seperti ini perlu terus diperkenalkan kepada generasi muda. 

"Jangan sampai suatu hari nanti anak-anak kita hanya mengenali gasing melalui cerita, gambar dan video tanpa pernah merasai sendiri pengalaman bermain dan menyaksikan kehebatan seni permainan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bersama-sama dalam Pertandingan Gasing Uri antara Kelantan dan Terengganu yang menghimpunkan pemain serta penggiat gasing dari kedua-dua negeri.

Menurut beliau, penganjuran pertandingan sebegini bukan sahaja dapat menghidupkan kembali permainan tradisional, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan persaudaraan antara masyarakat Terengganu dan Kelantan sebagai negeri berjiran.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan tahniah dan syabas kepada pasukan gasing Terengganu atas kemenangan dalam pertandingan tersebut serta penghargaan kepada pasukan Kelantan yang turut mengambil bahagian dan memeriahkan program.
“Menang atau kalah bukanlah ukuran utama. Yang lebih penting ialah warisan terus dipelihara, persahabatan terus terjalin dan generasi muda terus mengenali budaya kita,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur, para pemain, penggiat gasing dan semua pihak yang terus komited menghidupkan serta memartabatkan permainan tradisional berkenaan.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan