BESUT, 8 Julai – Seramai 500 orang kurang upaya (OKU) dari seluruh Terengganu disasarkan menyertai Himpunan OKU Terengganu (HOK) yang akan berlangsung di Rusila pada 14 Ogos depan sebagai platform memperkukuh kebajikan dan penyertaan golongan itu dalam masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, program berkenaan menghimpunkan peserta daripada tujuh kategori OKU termasuk autisme, sindrom Down, cerebral palsy (CP), masalah pendengaran serta kategori lain dari seluruh Terengganu.
Menurut beliau, setiap DUN diminta menghantar 10 peserta, selain penyertaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mencapai sasaran keseluruhan seramai 500 peserta.
"Program ini memberi fokus sepenuhnya kepada golongan OKU. Kita mahu mereka berkumpul dalam satu himpunan besar yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memberi pengiktirafan kepada peranan dan keperluan mereka dalam masyarakat," jelasnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Beliau menambah, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, pelbagai aktiviti telah disusun mengikut kesesuaian kategori peserta termasuk acara sukaneka yang mengambil kira kemampuan dan keperluan setiap kumpulan OKU.
"Bagi peserta yang mempunyai masalah pendengaran, kita turut menyediakan jurubahasa isyarat supaya mereka dapat mengikuti keseluruhan program dengan baik," ujarnya.
Maliaman berkata, pihak penganjur turut mendapat kerjasama daripada pengurusan Masjid Rusila dan Madrasah Darul Quran dalam memastikan kelancaran perjalanan program tersebut.
Justeru itu, beliau berharap Himpunan OKU Terengganu dapat menjadi wadah menghargai golongan istimewa itu di samping memperkukuh jaringan sokongan antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.