Jalur Gemilang
Berita :
Jalan Alternatif Akan Dibina Bagi Hubungkan Kampung Matang Ke Kampung Kepah
Jalan Alternatif Akan Dibina Bagi Hubungkan Kampung Matang Ke Kampung Kepah
Muhammad Aqil Mat Ali
12 jam yang lepas
136


HULU TERENGGANU, 14 Oktober – Satu laluan alternatif sementara akan dibina bagi memastikan hubungan perhubungan penduduk antara Kampung Matang dan Kampung Kepah, Kuala Berang, terus terjamin susulan penutupan jalan utama mulai 13 Oktober 2026 akibat kerosakan teruk pada jambatan sedia ada.

Bagi tujuan itu, kerja-kerja baik pulih laluan alternatif sedang dilaksanakan dengan penglibatan Pejabat Daerah Hulu Terengganu bagi membolehkan laluan berkenaan digunakan sementara menunggu pemasangan jambatan Bailey di lokasi terlibat.

Laluan alternatif tersebut sedang disiapkan dan sesuai digunakan oleh kenderaan ringan. Pengguna jalan raya bagaimanapun dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan sepanjang melalui laluan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, turun padang bagi meninjau dan memantau keadaan semasa di lokasi, termasuk perkembangan kerja-kerja baik pulih laluan alternatif tersebut.

Menurutnya, pembinaan laluan alternatif ini merupakan langkah sementara bagi memastikan pergerakan penduduk setempat tidak terjejas sepenuhnya sepanjang tempoh penutupan jalan utama, sementara menunggu pemasangan jambatan Bailey bagi memulihkan hubungan jalan raya di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, pengguna yang ingin menuju ke bandar Kuala Berang turut boleh menggunakan laluan alternatif lain, antaranya melalui jalan Kampung Kepah–Kuala Pueh, jalan Kampung Lerek dan jalan Kampung Baong.

Penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan terlibat dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan yang bersesuaian dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa.

Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan pengguna serta kelancaran urusan penduduk sepanjang kerja-kerja pemulihan infrastruktur dilaksanakan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan