KUALA NERUS, 28 Januari – Kebajikan warga penoreh getah dan nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh terus diberi perhatian menerusi penganjuran tahunan Majlis Jalinan Kasih Nelayan dan Penoreh Getah, yang diadakan pada Januari setiap tahun.
Program itu kekal menjadi simbol keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban golongan sasar yang sering terjejas sumber pendapatan, terutama sepanjang musim monsun ketika hasil kerja tertangguh, laut bergelora dan kebun sukar dimasuki, namun komitmen terhadap keluarga tetap berjalan tanpa henti.
Pada sesi pagi, majlis yang melibatkan 180 penoreh getah memberi penekanan terhadap konsep Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, yang disifatkan sebagai agenda menyeluruh merangkumi penyertaan aktif semua lapisan masyarakat bagi memperkukuh kestabilan ekonomi negeri.

“Alhamdulillah, cuaca dari pertengahan Januari hingga kini agak cerah dan masing-masing sudah boleh memulakan langkah untuk menoreh. Dalam tempoh sebulan dua ini juga, hasil getah keluar dengan lebih banyak dan dijangka akan mula menurun selepas ini. Semoga semuanya dipermudahkan Allah SWT untuk menerima anugerah rezeki daripada Ar-Razzaq,” katanya.
Bagi penoreh, perubahan cuaca itu bukan sekadar langit yang kembali terang, tetapi ruang untuk 'bernafas' semula selepas tempoh mencabar.
Setiap hari ke kebun membawa harapan, cukup untuk belanja dapur, yuran sekolah anak, dan meneruskan rutin hidup yang selama monsun terasa makin sempit.

Dalam sesi tersebut, beliau turut mengimbau kembali kronologi usaha menangani hakisan pantai, termasuk rundingan bersama bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. C. Poobalan, berkaitan krisis hakisan di Kampung Tanjung Gelam serta kejadian jalan runtuh di Kampung Kolam berhampiran Kedai ICT Pok Nong yang kini berada dalam keadaan stabil.
“Perkongsian ini bertujuan untuk kita saling berkongsi maklumat dan mengingatkan warga pesisir tentang kronologi yang pernah dilalui. Ia juga sebagai tanda bahawa pihak kami sentiasa mendengar pandangan rakyat dalam menangani isu hakisan pantai dengan sebaiknya,” ujarnya.
Buat warga pesisir, isu hakisan menyentuh keselamatan rumah, laluan harian, dan rasa risau yang datang setiap kali ombak kuat melanggar pantai.