Jalur Gemilang
Berita :
Karnival Berakit Jejak Pahlawan Akan Disenaraikan Dalam Kalendar Pelancongan Negeri 2027
Karnival Berakit Jejak Pahlawan Akan Disenaraikan Dalam Kalendar Pelancongan Negeri 2027
Mastura Jamal Din
20 jam yang lepas
844

HULU TERENGGANU, 26 September – Karnival  Berakit Jejak Pahlawan, DUN Telemong yang mengangkat sejarah dan warisan masyarakat setempat akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri sebagai antara produk unik untuk menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar aktiviti sukan, sebaliknya mempunyai nilai sejarah yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Hulu Terengganu suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, program berakit yang kini memasuki tahun keenam itu berpotensi dikembangkan dengan pelbagai pengisian baharu bagi menjadikannya lebih unik dan menarik.

“Program ini bagi saya luar biasa kerana dianjurkan berturut-turut selama enam tahun. Ia bukan sekadar sukan biasa tetapi turut mengingati sejarah Hulu Terengganu apabila pahlawan-pahlawan dahulu berakit dari hulu ke hilir.

“Insya-Allah, tahun hadapan kita akan masukkan program ini dalam kalendar pelancongan dan kita akan berbincang dengan penganjur untuk menambah nilai serta memperluaskan lagi pengisiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Berakit yang bermula di Dataran Syeikh Abdul Qahar, Kampung Dusun dan berakhir di Sungai Tersat, berhampiran Kampung Buluh, di sini.

Razali berkata, penganjuran tahun ini disertai kira-kira 50 peserta menerusi dua kategori iaitu kategori rakit laju dan kategori rakit berhias.
Katanya, program berkenaan juga boleh digabungkan dengan aktiviti lumba perahu serta acara tradisional lain bagi membentuk satu pakej pelancongan berasaskan sungai dan warisan.

“Kita lihat sungai ini cantik, jadi mungkin tahun hadapan kita campurkan dengan lumba perahu dan apa-apa aktiviti yang boleh dikembangkan supaya program ini menjadi lebih unik dan berwawasan.

“Kalau boleh, kita juga mahu memperluaskan penyertaan dengan menjemput peserta dari seluruh daerah atau 32 daerah (DUN) di Terengganu.

“Dengan cara itu, setiap kawasan boleh menghantar wakil masing-masing dan ia secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai orang datang menyaksikan perlumbaan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan