Jalur Gemilang
Berita :
Penduduk Diminta Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut
Penduduk Diminta Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
1 jam yang lepas
61

DUNGUN, 9 November– Seluruh warga Parlimen Dungun, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai dan kawasan berisiko banjir, diminta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ahli Parlimen Dungun, Dato’ Wan Hassan Mohd Ramli, berkata penduduk perlu sentiasa berwaspada susulan kemungkinan berlakunya banjir akibat hujan berterusan yang diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Terengganu.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, beberapa kawasan dalam lembangan sungai di Terengganu berpotensi mengalami banjir.

“Bagi Daerah Dungun, kawasan yang dikenal pasti berisiko melibatkan Lembangan Sungai Dungun yang merangkumi Sungai Dungun, Sungai Merung, Sungai Kelemin dan Sungai Loh, selain Lembangan Sungai Paka serta Sungai Paka dan Lembangan Sungai Sura,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Hassan berkata, amaran berkenaan meliputi tempoh 9 hingga 11 November 2026, justeru keadaan cuaca dan paras air sungai perlu dipantau dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca serta makluman rasmi daripada pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah sekiranya menerima arahan atau keadaan di kawasan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda berisiko.

Penduduk turut dinasihatkan memastikan dokumen penting, ubat-ubatan, keperluan asas serta barangan penting disimpan di tempat selamat dan mudah dibawa sekiranya berlaku pemindahan.

“Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya serta golongan yang memerlukan bantuan.

“Jangan mengambil risiko meredah arus air atau melalui kawasan yang dinaiki air, terutama sekiranya keadaan tidak selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Hassan turut menyeru ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sukarelawan, agensi keselamatan serta pasukan bantuan bencana di seluruh Dungun agar terus memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dan kerjasama bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut beliau, keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan semua pihak, khususnya ketika menghadapi musim Monsun Timur Laut.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat Dungun supaya menghadapi musim MTL dengan tenang, berwaspada dan saling membantu antara satu sama lain.

“Semoga Allah SWT melindungi seluruh warga Dungun daripada sebarang musibah, dipermudahkan segala urusan serta memberikan keselamatan kepada kita semua,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan