lightning-solid
Berita :
Kebajikan Rakyat Terus Jadi Fokus Di Batu Rakit
Kebajikan Rakyat Terus Jadi Fokus Di Batu Rakit
Rohayati Ripin
22 jam yang lepas
112

BESUT, 8 Julai – Kebajikan rakyat terus menjadi agenda utama di DUN Batu Rakit menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan sejak PAS mentadbir Terengganu pada 2018.

ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, usaha membantu rakyat khususnya golongan memerlukan terus diperkasakan melalui program ziarah berkala, penyampaian bantuan serta penyelesaian isu-isu rakyat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, gerak kerja itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Beliau berkata, pendekatan turun padang dari rumah ke rumah membolehkan pihaknya mengenal pasti keperluan sebenar penduduk, sekali gus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Pendekatan ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut disertai doa, nasihat dan sentuhan rohani.

“Ia juga mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Mohd Shafizi berkata, pelbagai inisiatif kebajikan yang digerakkan secara konsisten membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat terus mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.

Tambah beliau, usaha itu akan diteruskan bagi memastikan tiada keluarga di Batu Rakit tercicir daripada perhatian kerajaan negeri.

“Kita mahu setiap keluarga mendapat perhatian sewajarnya. Kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan di DUN Batu Rakit,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan