Berita :
Kenaikan Harga Bahan Bakar Isu Paling Mendesak Rakyat
Kenaikan Harga Bahan Bakar Isu Paling Mendesak Rakyat
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
71

 KUALA TERENGGANU, 16 April – Isu kenaikan harga bahan bakar yang berterusan menjadi tumpuan utama dalam persidangan kali ini kerana kesannya yang semakin dirasai oleh rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusof Majid berkata, persidangan kali ini dijangka lebih hangat berbanding biasa apabila isu-isu berkaitan rakyat, terutama kesan kenaikan harga bahan bakar, dibahaskan secara lebih mendalam.

Menurut beliau, kenaikan harga bahan bakar yang berterusan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barangan keperluan harian, sekali gus menekan kehidupan rakyat termasuk golongan petani dan penternak.

“Walaupun ini merupakan isu di bawah tanggungjawab kerajaan pusat, namun kesannya dirasai di peringkat negeri apabila kos sara hidup rakyat meningkat.

“Ia seolah-olah tiada keutamaan diberikan dalam menangani beban rakyat yang semakin terhimpit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat Terengganu agar lebih bijak dalam mengurus perbelanjaan dan berusaha mencari sumber pendapatan tambahan.

“Berhemahlah dalam berbelanja dan elakkan pembaziran dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa antara isu lain yang akan dibawa dalam persidangan termasuk usaha memperkukuh penyatuan ummah dan Melayu yang berpaksikan agama.

Katanya, dalam era yang semakin mencabar, masyarakat khususnya umat Islam dan Melayu perlu mengambil peluang yang masih ada untuk membina semula kekuatan ummah tanpa mewujudkan perpecahan.

“Jika diberi ruang dalam perbahasan, saya akan teruskan membawa isu penyatuan ummah sebagai asas kekuatan masyarakat,” jelasnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan