Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri Perkukuh Fiskal, PBT Perlu Tingkat Keupayaan Berdikari
Kerajaan Negeri Perkukuh Fiskal, PBT Perlu Tingkat Keupayaan Berdikari
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
18

KUALA TERENGGANU, 19 November – Kerajaan Negeri Terengganu terus mempergiat usaha memperkukuh kedudukan kewangan dan fiskal negeri menerusi peningkatan kutipan hasil, penerokaan sumber pendapatan baharu serta pengoptimuman aset bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha berkenaan turut melibatkan peningkatan keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya setiap agensi berkenaan mampu berdikari dan mempunyai kekuatan kewangan sendiri.

Menurut beliau, setiap PBT perlu membina keupayaan secara berperingkat, bermula dengan usaha untuk berdiri sendiri sebelum mampu bergerak lebih jauh dan akhirnya mencapai tahap yang lebih berdaya saing.

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, setiap PBT perlu menyediakan pelan strategik masing-masing sebagai panduan menentukan hala tuju serta langkah yang perlu dilaksanakan untuk meningkatkan keupayaan organisasi.

“Rangka kerja pelan strategik perlu dibina dan dirangka oleh setiap PBT supaya mereka tahu hala tuju serta cara untuk sampai ke tahap yang membolehkan mereka berlari.

“Tidak semestinya perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Jika tidak mampu dalam masa setahun atau dua tahun, ia boleh diteruskan pada tahun berikutnya, tetapi usaha dan jalan penyelesaian mesti dicari supaya setiap PBT di Terengganu mampu berlari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Samsuri berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada peningkatan kutipan hasil utama termasuk cukai tanah, premium tanah, royalti galian, hasil perhutanan dan bayaran perkhidmatan.

“Usaha mengurangkan tunggakan serta menyemak semula kadar fi dan caj yang bersesuaian juga dilaksanakan bagi memastikan potensi hasil negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Selain itu, kerajaan negeri meneroka sumber pendapatan baharu termasuk terimaan daripada Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) serta keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Dari aspek perbelanjaan, kerajaan negeri mengamalkan prinsip pengurusan kewangan berhemah dengan memastikan setiap perbelanjaan dibuat berdasarkan keperluan serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Pengurusan aliran tunai yang lebih teliti turut diberi perhatian, selain mengutamakan projek pembangunan yang telah mempunyai komitmen dan projek infrastruktur asas yang mendesak.

Pada masa sama, prestasi setiap agensi pemungut hasil akan terus dipantau berdasarkan sasaran yang ditetapkan bagi memastikan strategi peningkatan hasil dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau menegaskan keseimbangan fiskal bukan bermaksud pembahagian peruntukan secara sama rata, sebaliknya menuntut kecekapan dalam mengutip hasil, mengurus perbelanjaan operasi dan memastikan setiap pelaburan pembangunan memberikan impak jangka panjang kepada negeri serta rakyat.

Pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pengurusan kewangan yang mampan, berdisiplin dan berdaya tahan, sekali gus menjamin kelangsungan pembangunan Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan