KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan Terengganu akan meneliti secara menyeluruh cadangan pembangunan yang dikemukakan oleh Lagenda Properties Berhad bagi memastikan ia selaras dengan dasar pembangunan negeri serta memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu dibincangkan dalam sesi kunjungan hormat yang diketuainya bersama delegasi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu ke syarikat berkenaan.
Beliau berkata pihak Lagenda Properties telah membentangkan perancangan pembangunan syarikat itu di seluruh negara yang meliputi komponen perumahan, kemudahan awam, infrastruktur serta pelan pembangunan secara berfasa.
"Bahagian Perumahan SUK Terengganu turut mengemukakan pandangan berkaitan pematuhan dasar pembangunan perumahan negeri, penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM), kemudahan awam yang mencukupi, aspek kebolehdiaman (liveability) serta kepentingan memastikan setiap pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri," katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau baru-baru ini.

Beliau berkata segala dapatan daripada sesi tersebut akan dijadikan asas pertimbangan sebelum sebarang keputusan berkaitan pembangunan dibuat oleh Kerajaan Negeri.
"Kerajaan negeri komited memastikan setiap cadangan pembangunan dinilai secara menyeluruh agar dapat memenuhi keperluan rakyat dan menyokong pembangunan mampan di Terengganu," katanya.