KUALA LUMPUR, 6 Mei - Terengganu Hockey Team (THT) tidak melihat ketiadaan penyerang utamanya, Faizal Saari sebagai satu ancaman kepada prestasi pasukan tersebut.
Sebaliknya, Ketua Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom menegaskan kekuatan keseluruhan skuad mampu menampung kekosongan itu menjelang aksi seterusnya.

"Kita ada masa lebih kurang sembilan hari sebelum kita jumpa dengan pasukan UiTM untuk kita tengok balik siapa pemain yang akan bermain di posisi Faizal Saari itu.
"Saya rasa pemain-pemain yang kita ada pun dah bersedia untuk kedudukan tersebut. Jadi, mungkin dia tidak ada masalah untuk menggantikan kedudukan Faizal," jelasnya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa baki dua perlawanan akan dimanfaatkan untuk memperkemaskan lagi corak permainan pasukan.
"Untuk baki dua perlawanan ini kita nak cuba, kita perkemaskan, kita punya corak menyerang supaya kita boleh bersiap sedia pada musim kedua nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan antara THT menentang Liaoning Men's Men Hockey Team (LMHT), semalam.
Dalam perlawanan itu, THT mencatat kemenangan bergaya 6-0, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga dan mengekalkan tekanan ke atas pencabar teratas.

"Walaupun ada masalah yang tak dapat dielakkan, kita masih lagi konsisten dalam untuk mencapai satu keputusan iaitu kemenangan hak milik kita," katanya.
Beliau turut menyifatkan prestasi semasa sebagai petanda positif buat pasukan musim ini.
"Pemain konsisten bila dia menang dengan Territory (Territory Stingers) dan dia 'comeback' balik, dia menang dengan Liaoning 6-0. Satu perkembangan positif untuk pasukan THT 2026," ujarnya.
Terdahulu, penyerang sensasi THT, Faizal telah dilayangkan kad merah susulan insiden pergaduhan dengan pemain lawan, Wang Yubo, selepas berlaku provokasi.
Keputusan itu akan mencabar skuad untuk 'berdikari' mencari mata tanpa penyerang utamanya ketika menentang UiTM HA-KPT yang dijadualkan untuk berjalan pada 16 Mei ini di laman sendiri.