Berita :
Ketua Pembangkang : ‘Biar Lambat Asal Selamat’
Ketua Pembangkang : ‘Biar Lambat Asal Selamat’
Rohayati Ripin
5 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 16 April – Perikatan Nasional (PN) menegaskan hubungan antara parti-parti komponennya kekal kukuh tanpa sebarang masalah, sambil menekankan pendekatan berhati-hati dalam pelantikan Ketua Pembangkang dengan prinsip 'biar lambat asal selamat'.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Hadi Awang berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam gabungan itu, semua pihak tetap bersatu dari segi dasar dan matlamat dalam menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, PN tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan penting, termasuk pelantikan Ketua Pembangkang, demi memastikan kestabilan dan kesepakatan dalam kalangan pembangkang.

“Parlimen belum bersidang lagi, jadi masih ada masa. Orang tua kata, biar lambat asal selamat.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah. Kita masih kekal bersatu walaupun ada perbezaan pandangan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dataran Shahbandar, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan antara parti-parti dalam PN kekal utuh, meskipun wujud perbezaan pandangan dalam beberapa perkara.

Katanya, pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan mengukuhkan lagi hubungan sesama parti dalam gabungan tersebut, khususnya bagi menghadapi pilihan raya secara bersama.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, kita tetap bersatu dari segi dasar dan matlamat.

“Pintu sentiasa terbuka luas kepada PAS. Apa yang perlu difahami, pemilihan Ketua Pembangkang ini bukan hanya melibatkan PAS, tetapi semua Ahli Parlimen Pembangkang.

“Oleh itu, kita perlu menunggu pandangan daripada semua pihak, termasuk PAS sendiri, parti-parti komponen serta Ahli Parlimen Pembangkang dari Malaysia Timur. Kita perlu mengambil sedikit masa untuk melantik Ketua Pembangkang.

“Kita sebuah negara demokrasi dan perlu menghormati pandangan masing-masing,” ujarnya.

Beliau menambah, PAS tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa dan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak dalam kalangan pembangkang.

“Pemilihan Ketua Pembangkang ini bergantung kepada parti-parti serta Ahli Parlimen Pembangkang. Sebab itu kita mengambil sedikit masa untuk mendapatkan pandangan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, keputusan tersebut dijangka dibuat sebelum sidang Parlimen akan datang yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan kemungkinan beberapa pemimpin menyertai PAS, sebaliknya menegaskan perkara tersebut bergantung kepada individu dan tidak boleh dipaksa.

“Itu terpulang kepada individu masing-masing. Kita tidak boleh memaksa,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan