Berita :
Kos Tinggi Himpit Pesawah, Exco Pertanian Desak Semakan Harga Lantai Padi
Kos Tinggi Himpit Pesawah, Exco Pertanian Desak Semakan Harga Lantai Padi
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
86

KUALA TERENGGANU, 13 April - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan keperluan mendesak untuk kerajaan mengkaji semula harga lantai padi susulan peningkatan ketara kos pengeluaran yang kini menekan golongan pesawah.

Menurut beliau, kos mengerjakan sawah ketika ini dianggarkan sekitar RM5,500 bagi setiap hektar, merangkumi perbelanjaan membajak, benih, racun, jentuai serta pengangkutan.

"Mengambil kira sehektar sawah menghasilkan purata kira-kira 3.5 metrik tan padi, bermakna kos menghasilkan 1 tan padi ialah kira-kira RM1,500.

"Harga lantai padi sekarang RM1,500/hektar. Apa yang petani dapat selepas segala penat lelah dan pengorbanan? Jawabnya hanya dapat pahala kerana bekerja untuk memberi kita semua makan," katanya.

Beliau menegaskan, situasi tersebut jelas menunjukkan harga lantai sedia ada tidak lagi selari dengan realiti kos semasa, sekali gus menuntut satu penyelarasan yang lebih adil bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah.

"Ia bukan tuntutan yang berlebihan tetapi suatu penyelarasan yang adil dengan mengambil kira semua kos pengeluaran yang perlu ditanggung pesawah. Petani bukan nak jadi kaya raya.

"Mereka hanya menuntut sedikit ruang untuk bernafas. Tak sepatutnya pesawah dibiarkan bersendirian menanggung beban.

"Sebab itu adalah sangat kritikal sekarang untuk kerajaan mengkaji semula harga lantai padi yang sedia ada," ujarnya menerusi satu hantaran di media sosial.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan bahawa penetapan harga padi bukan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun pihaknya akan terus memainkan peranan dengan membawa isu tersebut ke perhatian pihak berwajib di peringkat Persekutuan.

"Harga padi bukan bawah bidang kuasa negeri. Sebab itu Exco Pertanian memanfaatkan pelbagai platform untuk menyuarakan isu ini agar diteliti sebaiknya oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa," jelasnya.

Terdahulu, Dr. Azman turut membangkitkan isu sama apabila mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan seiring peningkatan kos pengeluaran.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan pelarasan harga beras tempatan yang telah kekal lama pada kadar rendah.

Ketika itu, beliau memberi amaran bahawa ketidakseimbangan antara harga belian padi yang tinggi dengan harga jualan beras yang dikawal boleh menjejaskan keseluruhan rantaian industri. 

Katanya, situasi tersebut menjadi antara faktor yang menekan pengilang padi bumiputera hingga berdepan risiko gulung tikar.


Ketupat

Artikel Berkaitan