Berita :
Program Labuh Tukun Terengganu 2026: Fasa Pertama Bermula Di Kijal 16 Jun Ini
Program Labuh Tukun Terengganu 2026: Fasa Pertama Bermula Di Kijal 16 Jun Ini
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
56

TERENGGANU, 12 Jun – Siri Program Labuh Tukun Terengganu 2026 yang melibatkan jumlah keseluruhan 140 unit tukun tiruan terbesar dalam sejarah perikanan negeri bakal memulakan fasa pelabuhan pertamanya di perairan Kemaman pada Selasa depan.

Pelaksanaan projek berskala mega ini akan dijalankan secara berperingkat mengikut kawasan bagi memastikan proses pemulihan ekosistem marin di setiap daerah pesisir pantai berjalan lancar dan sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim memaklumkan, Pantai Penunjuk di Kijal telah dipilih sebagai lokasi pembuka tirai bagi program bersejarah ini.

"Tukun-tukun bagi fasa awal ini sudah siap dinaikkan ke atas tongkang dan sedia untuk berlayar. Sebanyak 20 unit tukun tiruan akan dilabuhkan khusus untuk nelayan Kemaman, terutamanya orang Kijal pada pagi 16 Jun 2026," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelan pelaksanaan program tersebut, Dr Azman menjelaskan bahawa pelabuhan tukun ini tidak dibuat secara serentak di semua tempat.

 Sebaliknya, kerja-kerja penurunan tukun akan digerakkan secara sikit demi sikit mengikut giliran kawasan selepas selesainya fasa pertama di Kemaman.

Secara keseluruhan, kesemua tujuh daerah yang mempunyai pesisir pantai di Terengganu akan menerima agihan yang adil dan samarata. 

Selepas pelancaran di perairan Kemaman, program ini akan menyusul ke enam daerah lagi membabitkan  Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, dan juga Besut.

Setiap satu daerah berkenaan telah diperuntukkan sebanyak 20 unit tukun tiruan konkrit untuk dilabuhkan di perairan masing-masing. 

Dr Azman turut menyatakan komitmennya untuk turun padang memantau sendiri proses pelabuhan tukun di kesemua lokasi daerah yang telah dijadualkan itu nanti.

Strategi melabuh tukun secara berperingkat mengikut kawasan ini amat penting bagi mewujudkan kawasan pembiakan hidupan laut yang seimbang di seluruh perairan Terengganu.

Langkah drastik daripada kerajaan negeri ini bukan sahaja berfungsi memulihkan lubuk ikan yang semakin berkurangan, malah ia bertindak sebagai benteng konkrit terbaik bagi menghalang aktiviti haram bot pukat tunda di zon nelayan tradisional.

Kehadiran tukun-tukun baharu ini pastinya menjadi berita gembira buat komuniti nelayan pantai (Zon A) kerana mereka tidak perlu lagi turun terlalu jauh ke tengah laut demi mendapatkan hasil tangkapan yang bermutu, sekali gus dapat menjimatkan kos bahan api harian mereka.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan