lightning-solid
Berita :
Rantau Abang Disasar Zon Pertumbuhan Ekonomi Baharu
Rantau Abang Disasar Zon Pertumbuhan Ekonomi Baharu
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Kerajaan Terengganu menyasarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang sebagai zon pertumbuhan ekonomi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pembangunan sektor pelancongan, pertanian moden dan ekonomi komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, inisiatif itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk serta merancakkan ekonomi setempat.

Menurutnya, antara pemacu utama usaha tersebut ialah cadangan Projek Penjenamaan Semula Pusat Peranginan Rantau Abang bernilai RM22.31 juta yang telah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Projek itu akan membangunkan Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan pesisir pantai bersepadu berteraskan warisan, ekopelancongan dan rekreasi menerusi penaiktarafan infrastruktur, kemudahan awam serta landskap.

“Pelaksanaannya dijangka memperkukuh kedudukan Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan utama negeri, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

“Kawasan Pantai Rantau Abang hingga Pantai Batu Pelanduk juga akan dibangunkan sebagai Koridor Pembangunan Pelancongan Bersepadu Pesisir Pantai yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Zulkifli pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.

Mohd Nurkhuzaini berkata, komponen utama projek berkenaan termasuk pembinaan gerbang sempadan Dungun-Marang, pembangunan laluan pejalan kaki atau ‘boardwalk’ dan menara tinjau serta kerja pengindahan landskap.

Menurutnya, projek itu turut melibatkan penaiktarafan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC), Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, kawasan rekreasi Pantai Batu Pelanduk serta sistem saliran di Muara Sungai Abang.

Dalam sektor pertanian, katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji penubuhan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Kampung Pinang Merah bagi pembangunan tanaman kontan dan sayur-sayuran bernilai tinggi.

“Pada masa sama, beberapa kawasan tanah yang berpotensi turut dikenal pasti untuk pembangunan pertanian moden secara fertigasi dan hidroponik dengan penglibatan golongan belia,” katanya.

Beliau berkata, Rantau Abang juga mempunyai enam kawasan padang ragut dengan keluasan keseluruhan 389.24 hektar yang berpotensi menyokong perkembangan sektor penternakan.

Selain itu, sebuah ladang ayam penelur bernilai kira-kira RM42 juta dirancang untuk dibangunkan di Kampung Papan dan dijangka mampu menghasilkan sehingga satu juta biji telur sehari.

“Projek itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada belia serta penduduk setempat, malah meningkatkan pendapatan isi rumah dan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti sekitar,” ujarnya.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bantuan dan insentif kepada golongan belia menerusi Program Agropreneur Muda, Rezeki Ternak, Bantuan Input Penternakan serta pembangunan padang ragut bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor agromakanan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sektor pelancongan berasaskan konservasi penyu terus diperkasakan melalui pendekatan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) dan inisiatif Terengganu Turtle Tourism.

Katanya, usaha tersebut memanfaatkan peranan TCIC dan Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang sebagai tarikan pelancongan, pusat pendidikan serta pemuliharaan khazanah marin.

“Jumlah pengunjung ke TCIC meningkat kepada 185,804 orang pada 2025 berbanding 140,276 orang pada 2024.

“Peningkatan itu mencerminkan potensi besar Rantau Abang untuk muncul sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau yakin pembangunan bersepadu yang dirancang mampu mengembalikan kegemilangan Rantau Abang sebagai ikon pelancongan Terengganu, di samping menjana pertumbuhan ekonomi lebih inklusif dan mampan demi kesejahteraan penduduk setempat.



Tag :

Artikel Berkaitan