Berita :
Kuala Abang Destinasi Kedua Labuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda
Kuala Abang Destinasi Kedua Labuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
47

DUNGUN, 25 Jun - Terengganu meneruskan dasar memperkukuh sumber perikanan negeri menerusi pelaksanaan siri kedua Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (Rekreasi) di perairan Kuala Abang, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada pelan besar rangkaian tukun tiruan sepanjang pesisir pantai Terengganu bagi melindungi kawasan tangkapan nelayan pantai daripada pencerobohan.

Menurut beliau, siri kedua program dengan 20 unit tukun di daerah Dungun itu dilaksanakan selepas siri pertama berjaya disempurnakan di Pantai Kijal, Kemaman pada 16 Jun, baru-baru ini.

"Tahun ini alhamdulillah program labuh tukun kita merupakan siri terbesar dalam sejarah program labuh tukun di Negeri Terengganu, 155 unit.

"Kesemua tujuh daerah di Negeri Terengganu yang mempunyai garisan pesisir pantai akan menerima tukun sebagai sebahagian daripada pelan besar kita untuk mewujudkan garisan sempadan tukun bermula daripada Kemaman sehingga ke Besut sejauh 245 kilometer," katanya.

Ulasnya lagi, sasaran kerajaan negeri adalah untuk mewujudkan 245 kelompok tukun di sepanjang pesisir pantai negeri dengan setiap satu kilometer dilengkapi satu kelompok tukun.

"Sasaran kita sebagaimana yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, setiap satu kilometer kita akan letakkan satu kelompok tukun.

"Bermakna kita perlu ada 245 kelompok tukun daripada Kemaman sehingga ke Besut untuk kita wujudkan zon penampan bagi melindungi kawasan tangkapan nelayan pantai daripada pencerobohan," jelasnya kepada pemberita.

Dr. Azman berkata keberkesanan program tukun tiruan itu dapat dilihat menerusi peningkatan hasil pendaratan ikan serta kajian saintifik yang dijalankan institusi pengajian tinggi tempatan.

"Kajian saintifik oleh institusi pengajian tinggi tempatan membuktikan bahawa kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu adalah yang tertinggi di Pantai Timur, kira-kira 75 peratus berbanding negeri-negeri jiran yang lain," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap komuniti nelayan dan pemancing rekreasi memanfaatkan 'harta awam' yang disediakan kerajaan negeri dengan penuh tanggungjawab.

"Jadi saya harapkan semoga nelayan dan komuniti perikanan setempat memanfaatkan sebaiknya. Jangan jadikan tukun ini sebagai hak milik peribadi. Ini adalah harta awam untuk kegunaan bersama.

"Jangan potong pelampung yang kita letak sebagai penanda dan jangan ada sesiapa yang mari letak unjam dan dakwa sebagai kawasan peribadi. 

"Ini adalah kawasan untuk nelayan dan juga untuk pemancing-pemancing rekreasi," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden baru-baru ini, di mana pelampung penanda tukun di perairan Kijal telah dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita pun tidak berhajat untuk mengenakan satu penguatkuasaan khusus ataupun satu tindakan perundangan. Dia lebih kepada kepekaan dan 'sense of belonging'.

"Bukan semua perkara kita kena bercakap tentang akta, tentang enakmen, lebih kepada kesedaran setempat. 

"Ini adalah laut kita yang kita kongsi bersama dan sama-sama kita nak cari rezeki," ujar beliau ringkas ketika menjawab persoalan jika ada tindakan yang akan dikenakan terhadap pelaku tersebut.


Ketupat

Artikel Berkaitan