Jalur Gemilang
Berita :
Lebih Ramai Pelajar Ditaja, Kerajaan Terengganu Naikkan Peruntukan 22.3 Peratus
Lebih Ramai Pelajar Ditaja, Kerajaan Terengganu Naikkan Peruntukan 22.3 Peratus
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
119


KUALA TERENGGANU, 23 September – Kerajaan Terengganu meningkatkan peruntukan pendidikan menerusi Yayasan Terengganu sebanyak 22.3 peratus kepada RM57.1 juta bagi 2026 berbanding RM46.7 juta pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, peningkatan sebanyak RM10.4 juta itu turut menyaksikan jumlah penerima tajaan bertambah daripada 3,147 kepada 3,931 pelajar.

Menurut beliau, jumlah penerima bagi 2026 meningkat seramai 784 orang atau kira-kira 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi tahun 2025, seramai 3,147 pelajar menerima tajaan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM46.7 juta.

“Tajaan itu melibatkan pelbagai bidang pengajian termasuk akademik, profesional, pengajian Islam serta kemahiran teknikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluaskan akses pendidikan kepada anak Terengganu.

“Pembiayaan ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri membangunkan modal insan yang diperlukan untuk menyokong pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Terengganu.

“Dalam masa sama, kita juga mahu memastikan peluang pendidikan itu lebih luas dan tidak terhad kepada satu bidang sahaja,” jelasnya.

Dalam usaha memperluaskan peluang pendidikan, katanya, peruntukan biasiswa turut dirancang meningkat kepada RM7 juta berbanding RM6 juta pada tahun semasa dan RM5 juta pada tahun sebelumnya.

“Bagi pelajar yang tidak memperoleh biasiswa, Kerajaan Negeri turut mengekalkan peruntukan pinjaman pendidikan sebanyak RM10 juta setahun.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelajar yang tidak mendapat biasiswa masih mempunyai peluang menyambung pengajian mengikut minat dan laluan kerjaya masing-masing,” ujarnya.

Satiful berkata, skop pembiayaan turut diperluaskan kepada bidang pengajian yang lebih pelbagai termasuk bidang berteraskan Islam serta program yang menggabungkan pendidikan konvensional dengan pendidikan Islam bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu telah menyalurkan sebanyak RM247.48 juta bagi tajaan dan bantuan pendidikan.

“Jumlah itu merangkumi pinjaman pelajaran sebanyak RM45.16 juta, biasiswa RM103.38 juta, pinjaman Malaysia Lifelong Learning atau MLVK sebanyak RM19.46 juta dan bantuan persediaan RM79.48 juta,” katanya.

Menurut beliau, jumlah tajaan dan bantuan pendidikan yang disalurkan ialah RM37.49 juta pada 2020, RM32.53 juta pada 2021, RM37.16 juta pada 2022, RM41.19 juta pada 2023, RM43.81 juta pada 2024 dan RM55.29 juta pada 2025.

“Bagi 2026 pula, peruntukan biasiswa meningkat kepada RM32.66 juta berbanding RM30.41 juta pada 2025, iaitu pertambahan sebanyak RM2.24 juta.

“Antara peningkatan yang direkodkan ialah Biasiswa SPC Dalam Negara daripada RM13.93 juta kepada RM17.18 juta, manakala Biasiswa Sarjana dan PhD meningkat daripada RM835,000 kepada RM999,000,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan Biasiswa ACCA turut meningkat daripada RM1.76 juta kepada RM1.97 juta, manakala Biasiswa SPC Luar Negara berkurang daripada RM13.89 juta kepada RM12.51 juta.

“Dalam aspek pinjaman pendidikan pula, peruntukannya meningkat sebanyak RM5.92 juta daripada RM11.04 juta pada 2025 kepada RM16.95 juta bagi 2026.

“Peningkatan itu melibatkan pinjaman IPTA daripada RM1.02 juta kepada RM1.44 juta, pinjaman IPTS daripada RM7.20 juta kepada RM11.26 juta dan pinjaman luar negara daripada RM2.82 juta kepada RM4.25 juta,” jelasnya.

Menurut Satiful, peningkatan peruntukan pinjaman itu antara lain susulan pengenalan beberapa program baharu di bawah skim pinjaman pendidikan.

“Antaranya Program Perubatan di University of Pretoria dan University of Stellenbosch, Afrika Selatan, selain program Sains, Kejuruteraan dan Perniagaan Antarabangsa di China.

“Kita mahu membuka lebih banyak laluan kepada anak Terengganu untuk mengikuti bidang pengajian yang mempunyai potensi dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan Pinjaman Program Kemahiran turut meningkat daripada RM5.26 juta pada 2025 kepada RM7.54 juta pada 2026, iaitu pertambahan RM2.28 juta.

“Antara program baharu yang diperkenalkan ialah Program Sijil Kemahiran Profesional Juruteknik Kapal Terbang CAT A1 melalui kerjasama dengan industri penerbangan seperti Batik Air dan Malaysia Airlines.

“Turut diperkenalkan ialah Program Kemahiran Tahfiz di TATIUC, Program Kerjasama Malaysia Rail Link atau MRL-ECRL serta program kemahiran di TESDEC,” tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan