Berita :
Lori Langgar Palang Had Ketinggian Drawbridge, Pengurusan Jalankan Siasatan
Lori Langgar Palang Had Ketinggian Drawbridge, Pengurusan Jalankan Siasatan
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 19 Jun- Sebuah lori dilaporkan melanggar palang penghadang had ketinggian di laluan masuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) semalam, menyebabkan kerosakan pada struktur kemudahan itu.

Pihak pengurusan Drawbridge dalam kenyataan memaklumkan kejadian yang berlaku pada 18 Jun itu melibatkan sebuah kenderaan berat yang dipercayai melebihi had ketinggian maksimum 3.5 meter yang dibenarkan untuk melalui jambatan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, semua kenderaan yang melebihi had ketinggian tersebut tidak dibenarkan menggunakan laluan Drawbridge bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta melindungi infrastruktur jambatan daripada kerosakan.

"Pematuhan terhadap had ketinggian yang ditetapkan amat penting bagi menjamin keselamatan pengguna, melindungi kemudahan awam dan memastikan operasi jambatan berjalan lancar.

"Tindakan mengabaikan peraturan ini boleh mengakibatkan kerosakan infrastruktur serta membahayakan pengguna jalan raya lain," menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan menilai tahap kerosakan yang berlaku.

Kerja-kerja pembaikan serta penggantian palang penghadang yang rosak akan dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan dan kelancaran penggunaan jambatan itu.

Sehubungan itu, pengurusan Drawbridge mengingatkan semua pemandu, khususnya pengendali kenderaan berat, supaya memastikan ketinggian kenderaan mematuhi had yang ditetapkan sebelum memasuki kawasan yang mempunyai sekatan ketinggian.

Mereka juga disaran menggunakan laluan alternatif seperti Jambatan Sultan Mahmud atau Jambatan Manir sekiranya kenderaan melebihi had ketinggian yang dibenarkan.

Pengurusan Drawbridge turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul akibat kejadian itu dan menegaskan keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan