Jalur Gemilang
Berita :
LPT3 dan Jurang Pembangunan Jadi Persoalan Dalam Belanjawan 2027
LPT3 dan Jurang Pembangunan Jadi Persoalan Dalam Belanjawan 2027
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
22 jam yang lepas
64

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Ketidakseimbangan pembangunan antara negeri, termasuk keperluan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), dibangkitkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mempersoalkan keutamaan pembangunan negara yang menurutnya masih memperlihatkan jurang antara negeri yang telah maju dengan negeri yang memerlukan lebih banyak kemudahan infrastruktur.

Menurut beliau, projek LPT3 merupakan antara kemudahan penting yang perlu diberikan perhatian bagi meningkatkan hubungan pengangkutan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur.

“Keselamatan pembangunan negeri” yang disebut dalam belanjawan, katanya, perlu diterjemahkan melalui pengagihan pembangunan yang lebih seimbang, bukan sekadar pengumuman projek dan pelaburan.

Tambah beliau, negeri yang masih berdepan kekurangan infrastruktur asas tidak seharusnya terus ketinggalan ketika kawasan lain menerima pelaburan dan projek pembangunan berskala besar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan reformasi fiskal persekutuan melalui formula pengagihan peruntukan yang mengambil kira keperluan fiskal setiap negeri, keupayaan menjana hasil sendiri, jurang infrastruktur serta tahap penyampaian perkhidmatan awam.

"Pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan negara dapat dinikmati secara lebih seimbang dan jurang ekonomi antara negeri dapat dikurangkan," tegasnya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut membangkitkan isu perbezaan mekanisme penyaluran peruntukan pembangunan kawasan antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Beliau merujuk manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya menjanjikan dana pembangunan kawasan pilihan raya atau Constituency Development Fund (CDF) secara sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti.

“Pembangunan bukan kerja kerajaan semata-mata tetapi ikhtiar kolektif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan yang adil perlu dinilai berdasarkan keupayaan merapatkan jurang ekonomi dan meningkatkan kemudahan rakyat, bukannya semata-mata melalui jumlah projek atau nilai pelaburan yang diumumkan.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan