Berita :
MAIDAM Sasar 100 Asnaf Dibimbing Jadi Usahawan, Peruntukan Bantuan Modal Naik RM5 Juta
MAIDAM Sasar 100 Asnaf Dibimbing Jadi Usahawan, Peruntukan Bantuan Modal Naik RM5 Juta
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 29 April – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) merangka pelan khas tahun 2026 bagi membantu golongan asnaf keluar daripada garis kemiskinan melalui pendekatan lebih tersusun, produktif dan berimpak jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pelan itu memberi tumpuan kepada perubahan kaedah bantuan daripada sekadar pemberian sekali beri yang bersifat konsumtif kepada program pemberdayaan ekonomi yang lebih mampan.

Katanya, antara inisiatif utama yang dirangka termasuk pembangunan usahawan, program pekerjaan terjamin, pemilikan aset serta intervensi sosial, psikologi dan spiritual.

“Pembangunan modal insan merupakan komponen kritikal dalam agenda memperkasakan bantuan modal kepada asnaf.

“Ia memastikan bantuan yang disalurkan tidak hanya bersifat kebajikan sementara, tetapi mampu menghasilkan impak jangka panjang melalui peningkatan keupayaan, kemahiran dan daya tahan ekonomi penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman.

Mengulas lanjut, Maliaman berkata, MAIDAM menyasarkan seramai 100 penerima bantuan modal pada tahun 2026 untuk mengikuti bimbingan dan latihan secara komprehensif.

Menurutnya, peserta yang dipilih akan dipantau secara dekat oleh pakar serta pemain industri berkaitan selama setahun bagi memastikan mereka menerima latihan, tunjuk ajar, nasihat dan motivasi secara berterusan.

Katanya, pendekatan itu penting supaya bantuan modal yang diberikan tidak terhenti sebagai suntikan kewangan semata-mata, sebaliknya benar-benar mampu membina kemahiran dan keyakinan asnaf untuk berdikari.

“Tahun 2026 juga menyaksikan fokus yang lebih signifikan oleh MAIDAM dalam memperkasakan bantuan modal berdikari apabila peruntukan ditingkatkan kepada RM5 juta berbanding RM1 juta pada tahun 2025, iaitu lonjakan sebanyak 400 peratus.

“Peningkatan ini mencerminkan komitmen yang lebih kukuh dan bersungguh-sungguh oleh MAIDAM dalam usaha membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan