Jalur Gemilang
Berita :
Pegawai Pertanian Kemaman Harumkan Nama Terengganu di Pentas Dunia
Pegawai Pertanian Kemaman Harumkan Nama Terengganu di Pentas Dunia
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
82

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober -  Pengiktirafan antarabangsa terhadap seorang pegawai pertanian wanita dari Terengganu membuktikan sumbangan wanita dalam sektor agromakanan dan pembangunan luar bandar semakin mendapat perhatian dunia.

Nur Shazwani Mohd. Salleh, Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, terpilih sebagai salah seorang penerima FAO 100 Women Heroes in Agrifood Systems and Rural Development 2026, sekali gus mewakili Malaysia dalam senarai berprestij yang diperkenalkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Pengiktirafan itu diberikan bersempena Tahun Antarabangsa Wanita Peladang 2026 (International Year of the Woman Farmer 2026) bagi menghargai sumbangan 100 wanita dari seluruh dunia dalam memajukan sektor pertanian, sistem agromakanan dan pembangunan luar bandar.

Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dalam kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan, pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan negeri, malah mengetengahkan peranan penting wanita dalam memperkukuh sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Menurut kenyataan itu, inisiatif FAO berkenaan menerima sebanyak 609 pencalonan dari 131 negara anggota sebelum melalui proses pemilihan yang merangkumi semakan kelayakan, penilaian pengurusan kanan dan dua pusingan perbincangan bagi menentukan senarai akhir penerima.

Pengiktirafan berkenaan turut menonjolkan sumbangan wanita dalam memperkukuh keselamatan makanan, memperluas akses pasaran, memelihara pengetahuan tradisional serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar.

Pencapaian Nur Shazwani mencerminkan penglibatan wanita dalam ekosistem pertanian yang bukan sahaja tertumpu kepada pengeluaran makanan, malah merangkumi usaha memperkasa masyarakat dan memastikan pembangunan sektor itu terus mampan.

Sehubungan itu, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu merakamkan ucapan tahniah atas pengiktirafan berkenaan dan berharap kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada warga pertanian, khususnya golongan wanita, untuk terus menyumbang kepada kemajuan sektor pertanian negara.

Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat nama Terengganu di peringkat antarabangsa serta memperlihatkan potensi pegawai pertanian wanita Malaysia dalam menyumbang kepada pembangunan agromakanan global.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan