KUALA TERENGGANU, 24 April - Kisah pemilik akaun Facebook Minyak Hitam Jalanan Original yang membantu membaiki motosikal seorang pelanggan berbangsa Cina tanpa mengambil upah, menjadi antara contoh kecil namun bermakna kepada semangat integrasi nasional yang perlu terus dihidupkan dalam masyarakat.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peristiwa itu menggambarkan nilai persaudaraan yang merentas sempadan kaum dan agama, apabila kesusahan seorang insan dirasai bersama tanpa prejudis identiti.
“Apa yang menggembirakan saya adalah semangat persaudaraan yang merentas sempadan kaum dan agama, di mana kesusahan seorang manusia dirasai bersama tanpa prejudis identiti.
“Itulah juga yang kita ikuti dalam satu eksperimen sosial yang dilakukan oleh seorang pemuda berbangsa Cina yang mengunjungi beberapa rumah orang Melayu di kampung di Terengganu untuk meminta ihsan bantuan, dan dilayan dengan penuh rasa hormat serta harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu sempena Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.
Menurut Ahmad Samsuri, sudah tiba masanya roh integrasi nasional dihidupkan kembali, bukan sekadar sebagai konsep politik, tetapi sebagai janji ikhlas untuk saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain.
Katanya, menjadi impian untuk melihat setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berdiri teguh dengan semangat toleransi yang bukan sahaja menerima perbezaan, malah benar-benar menghormati maruah sesama insan.
“Kita perlu mengimbau saat-saat di mana perbezaan warna kulit dan budaya menjadi kekuatan, bukannya jurang pemisah.
“Marilah kita merangkul diversity atau warna-warni perbezaan ini dengan hati yang terbuka. Biarlah kepelbagaian ini menjadi simfoni yang indah dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya,” ujarnya.
Ahmad Samsuri berkata, kualiti sesebuah tamadun akhirnya tidak dinilai semata-mata pada kemegahan bangunan, sebaliknya pada sejauh mana rakyatnya mampu hidup rukun dan damai sebagai satu komuniti besar Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya setiap perkara yang kontroversi dan menyentuh sensitiviti diselesaikan melalui perundingan, diplomasi dan semangat kekeluargaan.
Katanya, pendekatan konfrontasi atau apologetik tidak akan membantu membina negara yang matang, sebaliknya semua pertelingkahan perlu dikembalikan kepada asas pembentukan negara iaitu Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan kontrak sosial.
“Akhirnya, marilah kita mengurus kepelbagaian ini dengan penuh hikmah. Kita raikan keunikan masyarakat majmuk ini bukan sebagai liabiliti, tetapi sebagai suatu aset kekuatan.
“Kita berazam untuk memimpin naratif penyatuan Melayu-Islam dan perpaduan antara kaum di Malaysia sebagai prasyarat kepada kestabilan nasional, yang akan menjamin kesejahteraan setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dan negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Tag :