Berita :
MP Setiu Tekad Untuk Terus Perjuangkan Isu Jeti Pulau Redang
MP Setiu Tekad Untuk Terus Perjuangkan Isu Jeti Pulau Redang
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
9 jam yang lepas
135

PULAU REDANG, 8 Mei– Ahli Parlimen Setiu menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus memperjuangkan isu naik taraf jeti di Pulau Redang yang disifatkan semakin kritikal dan menyulitkan urusan penduduk serta pelancong.

Dalam satu sesi jaulah qaryah yang diadakan baru-baru ini, beliau melihat sendiri keadaan infrastruktur jeti yang terlalu sempit sehingga menimbulkan masalah logistik yang serius kepada kenderaan yang keluar masuk ke kawasan tersebut.

Susulan itu, beliau menegaskan akan membawa perkara ini secara rasmi dalam Mesyuarat Kedua Sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada 22 Jun 2026 akan datang.

Menurut beliau di dalam satu hantaran Facebook, keadaan jeti yang tidak sistematik itu menyebabkan kenderaan tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk berpusing, sekali gus memaksa pemandu mengundur semula kenderaan mereka untuk keluar dari kawasan jeti.

"Isu jeti Pulau Redang yang sempit ini insya-Allah saya akan terus bawa dan bangkitkan lagi dalam sidang yang terdekat (Jun). Keadaan sekarang terlalu sempit menyebabkan kenderaan yang masuk ke jeti tidak dapat berpusing. Akibatnya, kenderaan terpaksa mengundur semula untuk keluar," katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa isu ini bukanlah perkara baharu, malah telah banyak kali dibangkitkan kepada pihak atasan dan dalam Dewan Rakyat. Bagaimanapun, sehingga hari ini keadaannya masih sama dan masih belum diluluskan.

Tegasnya, beliau akan terus mendesak pihak berkuasa berkaitan agar mengambil tindakan segera memandangkan Pulau Redang merupakan destinasi pelancongan utama yang memerlukan kemudahan terbaik.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan