Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Kuala Besut Gesa Naik Taraf Segera Jeti Pekan Kuala Besut
ADUN Kuala Besut Gesa Naik Taraf Segera Jeti Pekan Kuala Besut
Amir Ab Rahim
14 jam yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri digesa menyegerakan penambahbaikan kemudahan asas di Jeti Pelancongan Pekan Kuala Besut bagi memastikan keselesaan pengunjung serta kelancaran Tahun Melawat Terengganu 2027.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, semalam.

Beliau berkata, kemudahan di jeti berkenaan perlu diberi perhatian serius memandangkan ia merupakan antara pintu masuk utama pelancong ke negeri ini, selain berdepan persaingan dengan Jeti Pelancongan Tok Bali sejak September 2026.

Sehubungan itu, katanya, usaha mempromosikan Jeti Pelancongan Pekan Kuala Besut perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Saya mengharapkan penambahbaikan kemudahan asas di jeti pelancongan Pekan Kuala Besut dilaksanakan dengan segera bertepatan dengan statusnya sebagai pintu gerbang pelancongan yang popular di negeri Terengganu," katanya.

Dalam pada itu, Azbi berharap peningkatan kutipan hasil menerusi fi kemasukan di Jeti Tok Bali dapat menjadi pemangkin kepada pertambahan hasil yang sama kepada Majlis Daerah Besut.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan negeri mempelbagaikan sumber ekonomi dengan tidak hanya bergantung kepada petroleum, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan sumber mineral bernilai tinggi.

Selain itu, katanya, pemerkasaan usahawan mikro perlu diteruskan menerusi pembangunan ekosistem ekonomi digital dengan memanfaatkan peranan agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Pusat Komuniti Pintar.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan