lightning-solid
Berita :
OKU Ada Kedudukan, Peranan Besar Dalam Islam
OKU Ada Kedudukan, Peranan Besar Dalam Islam
Adli Mohamad
3 jam yang lepas
84

MARANG, 15 Ogos – Islam memberi perhatian besar terhadap golongan orang kurang upaya (OKU), termasuk memastikan mereka mendapat peruntukan sekiranya tidak berkemampuan bekerja bagi memenuhi tuntutan mencari nafkah.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bagi mereka yang masih mempunyai kemampuan untuk bekerja, setiap usaha yang dilakukan mengikut kadar kemampuan masing-masing mempunyai nilai besar di sisi Allah SWT.

Menurutnya, golongan OKU turut dikurniakan keistimewaan di sisi Allah dan keadaan kurang upaya tidak bermakna kehidupan mereka menjadi sia-sia atau tidak mempunyai peranan.

Katanya, kehidupan manusia di dunia merupakan satu ujian sebelum kembali kepada Allah SWT dan setiap individu akan dipersoalkan mengenai apa yang dilakukan sepanjang hidupnya.

“Dalam ayat yang dibacakan, Allah SWT tidak membezakan kewajipan dan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya mengikut kemampuan masing-masing.

“Termasuk orang-orang yang uzur dan tidak sihat, mereka mestilah mentaati Allah mengikut kemampuan.

“Hidup di atas dunia ini pendek sahaja, tempat kita beramal, jambatan untuk ke akhirat. Allah SWT menegaskan kepada setiap orang mengikut kemampuannya.

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan mengikut kemampuannya. Di atas kemampuan itu kita mesti bergantung dengan Allah Taala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Dialog Town Hall sempena Himpunan Orang Kurang Upaya (OKU) Terengganu Darul Iman di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, meskipun seseorang mempunyai kekurangan dari sudut tertentu, kurniaan Allah kepada manusia tetap terlalu banyak untuk dihitung.

“Jika kamu hitung kurnia Allah kepada kamu, maka kamu tidak mampu untuk menghitung. Walaupun kita kurang upaya dalam beberapa perkara, tetapi diberikan keupayaan dalam perkara yang banyak.

“Keupayaan berfikir, keupayaan merasa dan sebagainya. Gunakan keupayaan ini untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Jangan sesekali derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan upaya juga merupakan sebahagian daripada ujian kehidupan dan kesabaran dalam menghadapinya mempunyai ganjaran tersendiri di sisi Allah.

“Terima apa yang Allah beri kepada kita dan kita buat kerja dengan sekadar kemampuan yang ada pada kita,” katanya.

Abdul Hadi turut mengimbau kisah seorang sahabat Nabi SAW yang buta, Abdullah bin Umm Maktum, yang menurutnya menunjukkan bagaimana golongan kurang upaya diberikan penghormatan dalam Islam.

Katanya, ketika Rasulullah SAW sedang memberi perhatian kepada pembesar-pembesar Mekah dalam usaha mengajak mereka menerima Islam, Abdullah datang menemui Baginda tanpa mengetahui Rasulullah sedang sibuk.

Menurut Abdul Hadi, peristiwa itu kemudian mendapat teguran daripada Allah SWT apabila Rasulullah SAW tidak memberikan perhatian kepadanya.

“Biasanya kita ini kalau orang tegur kita, kita tidak cerita kepada orang kesalahan kita. Ini keistimewaan Nabi SAW, cerita Allah Taala tegur dia kerana tidak layan seorang yang buta.

“Menunjukkan bahawa Allah memberi penghormatan kepada Ibnu Maktum,” katanya.

Beliau berkata, meskipun buta, Abdullah bin Umm Maktum mempunyai semangat dan azam yang kuat sehingga mahu turut bersama umat Islam dalam perjuangan di medan perang.

“Walaupun dia buta bukan calang-calang orang. Semangatnya kuat, azamnya kuat.

“Apabila Allah menurunkan ayat mewajibkan berjihad menentang musuh-musuh Islam di medan perang, lalu dia minta izin kepada Rasulullah supaya membawa dan meletaknya di antara dua pasukan yang bertempur supaya dia mati di tengah antara musuh dan umat Islam yang menentang musuh itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, golongan OKU tidak seharusnya menganggap kekurangan fizikal menyebabkan mereka tidak mempunyai peranan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebaliknya, katanya, mereka juga mempunyai ruang untuk menyumbang termasuk melalui doa.

“Oleh kerana itu orang kurang upaya ini kena ambil peluang berdoa kepada Allah Taala untuk Allah Taala berikan pertolongan kepada mereka yang menjalankan tugas di tempat masing-masing walaupun dia tidak upaya,” katanya.

Beliau turut merujuk sebuah hadis mengenai mereka yang tidak dapat bersama dalam sesuatu perjalanan kerana keuzuran tetapi tetap memperoleh ganjaran.

Menurutnya, perkara itu menunjukkan seseorang yang kurang berupaya tetap mempunyai peranan dan berpeluang memperoleh pahala meskipun tidak dapat melakukan sesuatu sebagaimana orang lain.

“Menunjukkan kepada kita orang kurang upaya ada peranan dan pahala diberikan oleh Allah Taala dengan syarat dia sentiasa bergantung dengan Allah SWT.

“Oleh kerana itu orang kurang upaya ini kena sabar dan sentiasa bergantung dengan Allah Taala.

“Mereka diberi pahala sabar di atas penderitaan yang dialami dan diberi pahala syukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah Taala. Mereka dapat dua pahala, syukur di atas nikmat dan pahala atas cabaran itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, perkara paling penting ialah golongan berkenaan perlu yakin terhadap janji Allah mengenai ganjaran bagi kesabaran dan setiap kebajikan yang dilakukan.

“Allah Taala berjanji nak beri pahala di atas kesabaran dan keuzuran kita. Kita percaya di atas janji, jangan tidak percaya. Ini bukan berita main-main.

“Ini janji Allah Taala dan tidak mungkir janji sesekali. Allah Taala janji setiap kebajikan yang kita buat hendak diberikan pahala untuk dimasukkan ke syurga.

“Allah Taala tidak main-main dengan janji-Nya di dalam al-Quran,” katanya.

Justeru, beliau menyeru golongan OKU supaya terus mempelajari al-Quran dan ilmu agama berdasarkan kemampuan masing-masing.

Katanya, pengetahuan agama penting bagi memahami hukum serta peraturan yang turut berkait secara khusus dengan golongan kurang upaya.

“Ambil peluang sekadar masing-masing belajar dan mengaji mengikut kemampuan masing-masing.

“Untuk tahu hukum-hukum dan peraturan agama termasuk hukum yang berkait dengan orang kurang upaya, ada hukum-hakam dia.

“Kita kena belajar dan kena mengaji. Dengan ada ilmu, menambah keyakinan kita untuk beramal dan meneruskan kehidupan kita,” katanya.
 


Tag :

Artikel Berkaitan