SERDANG, 30 Ogos - Pavilion Terengganu sedia memukau pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) dengan pelbagai pengisian menarik serta penawaran kulinari asli negeri berkenaan pada harga berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, pavilion berkenaan membawakan pelbagai produk usahawan tempatan dan tarikan ikonik Terengganu untuk dinikmati pengunjung secara dekat.
Menjawab pertanyaan mengenai hidangan tradisi yang sering dicari di Lembah Klang, beliau menyarankan orang ramai yang merindui keaslian Nasi Dagang Terengganu untuk berkunjung ke pavilion tersebut.

"Bagi warga Lembah Klang yang mahu mendapatkan nasi dagang resepi asli Terengganu tetapi pada kadar harga seperti di Terengganu, penganjuran di Pavilion Terengganu adalah jawapannya," katanya.
Menurut Dr. Azman, selain nasi dagang, pengunjung juga berpeluang merasai pelbagai sajian popular lain serta hasil pertanian teras negeri seperti melon manis Terengganu (MMT) dan air nira segar.

"Kami membawa pelbagai produk usahawan Terengganu serta memberi peluang kepada orang ramai melihat keunikan negeri ini secara dekat melalui replika dan monumen ikonik.
"Antara yang dibawakan termasuk replika Jambatan Angkat (Drawbridge), penyu, Batu Bersurat, serta pameran kraf tangan seperti batik dan songket," katanya ketika ditemui di Pavilion Terengganu.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai untuk tidak melepaskan peluang berkunjung ke Pavilion Terengganu sepanjang tempoh pameran berlangsung di MAEPS Serdang.
"Pavilion Terengganu telah mula dibuka sejak 28 Ogos dan akan beroperasi sehingga hari penutup pada 6 September nanti. Jemput datang dan jangan tak datang," katanya.
