KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Paya Bunga Hotel sekali lagi mengharumkan nama negara khususnya Terengganu apabila berjaya meraih sembilan pingat pada World Chefs Championship 2026 (WCC 2026) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.
Kejayaan itu membabitkan dua pingat emas cemerlang, lima pingat emas dan dua pingat perak menerusi penyertaan kakitangan hotel berkenaan dalam pelbagai kategori pertandingan kulinari dan hospitaliti bertaraf antarabangsa.
Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Zulkifly Mohd Yusof berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen serta kemampuan warga kerja hotel itu dalam mengekalkan standard kecemerlangan dalam bidang kulinari.
Menurutnya, penyertaan pasukan hotel itu di WCC 2026 bukan sekadar untuk bertanding, sebaliknya menjadi platform membuktikan bakat, kreativiti dan tahap profesionalisme di pentas antarabangsa.
“Keputusan meraih sembilan pingat ini adalah hasil kerja keras, disiplin serta semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan kakitangan.
“Kejayaan ini juga diharap menjadi pembakar semangat untuk terus melakar pencapaian lebih besar pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Antara penerima pingat emas cemerlang ialah Sharifah Nur Asykin Syed Akir menerusi kategori Artistic (Fruit or Vegetable Carving) dan Dina Qistina Mohamad Zaheerul dalam kategori Barista Challenge (Latte Art).
Selain itu, Abdullah Abdul Kadir turut membawa pulang dua pingat emas menerusi kategori Patisserie (Bread Showpiece) dan Patisserie (Plated Dessert – Asian/Continental).
Mohamad Fairusz Anuar Omar pula memenangi pingat emas dalam kategori WCC Special Event Hot Meal (Special Fried Rice) serta pingat perak bagi kategori Western Cuisine (Spaghetti Challenge).
Sementara itu, Muhammad Thaqif Azmi meraih pingat emas menerusi kategori Barista Challenge (Latte Art) dan pingat perak dalam kategori Showmanship (Teh Tarik Free Style).
Tag :