KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menggerakkan seramai 619 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 yang dijangka berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, program tahunan yang akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak itu dijangka menghimpunkan antara 100,000 hingga 120,000 penunggang motosikal RXZ dari seluruh negara pada anjuran siri kelapan ini.

"Untuk tahun ini, kita meningkatkan kawalan seramai 619 pegawai dan anggota akan terlibat bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman awam terkawal.
"Termasuklah di kawasan 'event' dan juga di daerah-daerah pun terlibat bagi memastikan perjalanan trafik berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media berkaitan RXZ Members 8.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, polis turut akan menempatkan stesen kawalan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Seberang Takir dan Jalan Pantai Ketapang bagi mencegah peserta daripada melakukan aksi berbahaya seperti 'wheelie'.
Jelas Mohd Khairi, langkah itu bertujuan memastikan peserta mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu mengingatkan semua peserta supaya memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, memiliki lesen memandu yang sah, mematuhi had laju serta tidak mengubah suai spesifikasi motosikal termasuk penggunaan ekzos bising, cermin sisi dan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan.
Beliau turut menasihatkan peserta supaya berhati-hati terhadap penipuan tempahan penginapan, tidak membawa barang terlarang ke negeri ini serta menjaga tingkah laku di tempat awam.
"Hasrat kita ialah supaya program RXZ Members terus dikenali sebagai satu perhimpunan komuniti permotoran yang berlangsung dengan selamat, berdisiplin dan memberi impak positif kepada Negeri Terengganu.
"Kejayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah saman yang dikeluarkan tetapi apabila semua peserta dapat hadir menyertai dan pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat," ujarnya kepada pemberita.
Mengulas penganjuran tahun lalu, beliau berkata program RXZ Members 7.0 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos 2025 merekodkan dua kemalangan maut, dua kemalangan cedera parah dan tujuh kemalangan cedera ringan.
Sehubungan itu, Khairi berharap semua peserta mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dengan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan ke Terengganu dan pulang ke destinasi masing-masing.