HULU TERENGGANU, 14 September – Orang ramai khususnya penduduk berhampiran Kampung Kolam dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengganggu atau cuba mengambil tindakan sendiri terhadap seekor gajah liar yang diberi nama “Awang Kolam”.
Gajah berkenaan difahamkan telah berada di kawasan tersebut sejak Khamis lalu dan kini menjadi perhatian orang ramai yang datang untuk melihat haiwan berkenaan.

Dalam perkembangan terkini, pihak PERHILITAN masih menunggu ketibaan dua ekor gajah denak dari Muadzam Shah, Pahang, yang dilaporkan bertolak kira-kira jam 3.00 petang tadi bagi membantu usaha menangani dan memindahkan gajah liar tersebut.

Penduduk juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi kawasan gajah berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.