Berita :
 Pensijilan MyGAP Dorong TDM Agrobiz Perluas Projek Agromakanan
Pensijilan MyGAP Dorong TDM Agrobiz Perluas Projek Agromakanan
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
63

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Pensijilan Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP) yang diterima oleh TDM Agrobiz Sdn Bhd dilihat sebagai pemangkin kepada syarikat itu untuk memperluaskan projek agromakanan secara mampan pada masa hadapan.

Pensijilan MyGAP merupakan skim yang mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik, termasuk aspek keselamatan makanan, pengurusan ladang serta kelestarian alam sekitar.

Pengurus Besar TDM Agrobiz, Zharudin Narudin berkata pensijilan tersebut menjadi dorongan kepada syarikat untuk terus memperkasa projek agromakanan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil pertanian tempatan.

"Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada TDM Agrobiz untuk terus memperluaskan projek agromakanan secara mampan. 

"Kami komited untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dan pemain pasaran bagi memastikan bekalan hasil pertanian tempatan sentiasa mencukupi dan berdaya saing," katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian oleh HarakahDaily, selepas anak syarikat kepada TDM Berhad itu menerima pengiktirafan berkenaan daripada Jabatan Pertanian Malaysia.

Majlis penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka kepada Zharudin dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, syarikat itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengeluaran hasil yang berkualiti dan selamat, malah berusaha memastikan bekalan agromakanan tempatan kekal stabil bagi memenuhi permintaan pasaran domestik.

Sejak Januari 2025, TDM Agrobiz melaksanakan inisiatif penanaman cili menggunakan kaedah Rumah Pelindung Hujan (RPH) bagi mengurangkan kesan perubahan cuaca. 

Pendekatan tersebut berjaya memastikan pengeluaran tanaman lebih konsisten, sekali gus menstabilkan harga pasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

"Melalui inisiatif-inisiatif ini, TDM Agrobiz berharap dapat terus menyokong pembangunan sektor agro makanan negara, meningkatkan pengeluaran hasil tempatan serta memastikan bekalan makanan yang berkualiti dan mampan untuk pasaran domestik," tambahnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan