Berita :
Penyatuan Melayu Kembalikan Kekuatan Politik
Penyatuan Melayu Kembalikan Kekuatan Politik
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
79

KUALA NERUS, 7 April – Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato' Seri Hamzah Zainudin menegaskan keperluan mendesak untuk penyatuan orang Melayu bagi mengembalikan kekuatan politik dan kestabilan negara.

Beliau berkata, walaupun orang Melayu membentuk majoriti sekitar 60 peratus populasi negara, kedudukan mereka dilihat belum benar-benar kukuh dari segi penguasaan kuasa dan kepimpinan.

Menurutnya, antara punca utama kelemahan tersebut adalah perpecahan dalam kalangan pemimpin serta kesilapan rakyat dalam memilih kepimpinan yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Masalah kepada kita hari ini bukan kerana orang lain, tetapi kerana kita sendiri yang tidak bersatu dan tersilap dalam membuat pilihan pemimpin,” jelasnya.

Hamzah berkata demikian ketika menyampaikan pidato penutup sempena program Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini kelmarin. 

Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan bahawa usaha penyatuan Melayu tidak akan meminggirkan kaum lain, sebaliknya menekankan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Saya ingin menegaskan bahawa kejayaan Melayu di Malaysia penting untuk membantu orang Melayu di seluruh dunia, termasuk di Patani dan Kemboja.

"Namun, perjuangan ini bukan untuk menakutkan mana-mana pihak. Ia hanya bertujuan menyatukan Melayu agar kembali berperanan dalam negara, sambil memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum," ujarnya.

Beliau turut mengkritik kepimpinan kerajaan semasa di bawah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, khususnya dalam menangani isu kenaikan harga diesel yang didakwa memberi kesan besar kepada golongan petani dan pesawah.

Katanya, peningkatan kos tersebut boleh menjejaskan sektor pengeluaran makanan negara, sekali gus mengancam keselamatan makanan (food security) jika tidak ditangani dengan segera.

“Apabila pesawah mula berhenti menanam padi, kita berdepan risiko kekurangan bekalan beras dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemimpin Melayu merentasi parti politik agar mengenepikan perbezaan dan bersatu di bawah satu agenda besar demi masa depan bangsa.

Beliau juga mencadangkan agar kepimpinan baharu yang berintegriti dan berjiwa besar diketengahkan, termasuk memberi sokongan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato Dri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebahagai antara tokoh masa depan.

Menurutnya, perjuangan tersebut bukan berasaskan kepentingan politik semata-mata, tetapi demi memastikan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara dan masa depan generasi akan datang.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan