Jalur Gemilang
Berita :
Penyu Belimbing Akhirnya Pulang Ke Terengganu
Penyu Belimbing Akhirnya Pulang Ke Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
2 jam yang lepas
86

FOTO: Pejabat Perikanan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 September - Setelah kali terakhir direkodkan pada tahun 2017, Jabatan Perikanan Malaysian Negeri Terengganu hari ini, mengumumkan bahawa gergasi samudera yang menjadi ikonik Negeri Terengganu iaitu Penyu Belimbing dipercayai telah mendarat di persisiran pantai Gong Balai, Marang, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, pihak Pusat Penerangan Penyu (TIC) Rantau Abang menerima maklumat daripada pemajak di kawasan berkenaan mengatakan bahawa ada jejak seekor penyu dipercayai jenis Penyu Belimbing di pantai pada pagi ini.

"Selepas mendapat maklumat itu, beberapa staf TIC telah pergi membuat pengesahan di lokasi dan mengesan jejak fizikal bersaiz besar (2.1 meter) serta lubang telur dengan telur bersaiz 52 milimeter.

"Sebanyak 44 biji telah dibawa ke TIC untuk dieramkan.

""Mungkin tindakan susulan dari jabatan, kita akan buat pemantauan berkala dijangka dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bekaitan kerana ada kemungkinan penyu ini akan naik buat kali kedua," katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan penemuan ini, Pejabat Perikanan Negeri Terengganu menguar-uarkan kepada orang ramai supaya terus menjaga kelestarian serta kebersihan pantai dan laut demi kelangsungan spesies warisan negara ini.

"Penemuan ini membuktikan pantai Terengganu kekal sebagai habitat selamat dan (kembali) menjadi destinasi pendaratan pilihan gergasi anggun ini.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar kesemua telur ini dapat menetas dengan selamat dan anak-anak penyu belimbing ini mampu berenang kembali ke samudera luas," kata kenyataan yang diterbitkan di laman Facebook itu.

Dijangkakan telur yang telah dieramkan ini akan menetas dalam tempoh tujuh hingga sembilan minggu lagi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan