Berita :
Perpaduan Umat Islam, Pemerkasaan Wanita Jadi Agenda Utama – Pendakwah Brunei
Perpaduan Umat Islam, Pemerkasaan Wanita Jadi Agenda Utama – Pendakwah Brunei
Rohayati Ripin
16 jam yang lepas
48

KUALA NERUS, 3 April – Perpaduan dalam kalangan umat Islam dan pemerkasaan wanita dikenal pasti sebagai antara isu paling penting dalam menghadapi cabaran dunia masa kini.

Pendakwah bebas dari Brunei Dr. Dayang Hajah Ummi Faizah berkata, perpaduan perlu dibina atas dasar ukhuwah Islamiah sebagaimana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang berjaya menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar tanpa mengira latar belakang.

Menurut beliau, keharmonian masyarakat di Brunei yang terdiri daripada pelbagai puak Melayu seperti Brunei, Kedayan, Tutong, Belait, Dusun, Murut dan Bisaya membuktikan bahawa perpaduan boleh dicapai melalui sikap saling menghormati serta dasar kerajaan yang inklusif.

"Kerajaan Brunei turut memberi perhatian besar terhadap kebajikan rakyat khususnya wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk perkhidmatan kesihatan percuma, bantuan kelahiran, subsidi pendidikan dan pencen warga emas.

“Konsep Melayu Islam Beraja menjadi kekuatan utama kerana ia menggabungkan nilai Islam, budaya Melayu dan sistem beraja yang dilaksanakan secara praktikal demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Penolong Profesor Universiti Islam Sultan Sharif Ali berkata demikian dalam slot Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026, perkarangan  Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemerkasaan wanita merupakan elemen penting dalam membina masyarakat yang sejahtera.

“Wanita adalah mutiara yang perlu digilap. Jika mereka tidak diperkasa, masyarakat akan berdepan pelbagai masalah sosial,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha memperkasa wanita perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui pendidikan, pembinaan akhlak, penyediaan sistem sokongan, peluang dalam komuniti dan penyatuan sesama wanita.

Dr. Ummi turut menekankan bahawa pendekatan dakwah tidak terhad kepada ceramah semata-mata, sebaliknya perlu disampaikan dengan kasih sayang bagi membentuk masyarakat yang lebih harmoni.

Justeru itu, beliau mengingatkan bahawa wanita memainkan peranan besar sebagai agen penyatu masyarakat, bermula dari institusi keluarga yang menjadi asas kepada pembinaan ummah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan