KUALA TERENGGANU, 4 April - Kira-kira 1,000 peserta konvoi dari Dewan Pemuda PAS Terengganu, hadir memeriahkan aktiviti Konvoi Bersama 4 Menteri Besar SG4 sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, di Dataran Batu Buruk hari ini.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Hamdi Harun memaklumkan, penyertaan pihaknya sebagai satu inisiatif menyokong usaha penganjur menyatukan seluruh Alam Melayu menerusi wadah perhimpunan tersebut.
Jelasnya, Konvoi Bersama 4 Menteri Besar SG4 yang bermula di Dataran Batu Buruk itu adalah satu cara menguar-uarkan kesedaran tentang penyatuan kepada masyarakat.
"Konvoi ini hendak membina kesedaran anak-anak muda berkaitan program yang melibatkan semangat keagamaan dan kebangsaan.
"Daripada konvoi ini, sedikit sebanyak golongan muda akan celik tentang pengisian atau program yang diadakan untuk masyarakat setempat," katanya ketika ditemui di Dataran Batu Buruk, hari ini.
Tambahnya, program berkenaan juga tidak menganggu ketenteraman awam serta dilaksanakan dengan pengawasan pihak berkuasa.
"Mana-mana konvoi pun pihak penganjur sangat menjaga etika.
"Jarak konvoi pula tidak jauh iaitu sekitar tujuh kilometer yang mungkin memakan masa kira-kira setengah jam sahaja dan diadakan bukan pada waktu puncak," katanya.
Tag :