KUALA NERUS, 14 Oktober - Peningkatan produktiviti dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi mampu membantu industri perladangan kelapa sawit mengatasi lonjakan kos operasi.
Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Rosli Latiff berkata, hala tuju industri perlu memberi perhatian kepada peningkatan hasil di kawasan sedia ada, penggunaan teknologi yang sesuai dan pengurusan secara bertanggungjawab.
Jelasnya, pertumbuhan berkualiti akan membantu industri menghadapi kos operasi dan perubahan pasaran dengan lebih baik.
"Tajuk seminar ini sangat-sangat bertepatan dengan keadaan semasa industri sawit dengan mengambil kira faktor alam sekitar, kemampanan industri, kawalan kos, produktiviti dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham merasmikan Seminar 'Shaping The Future of Sustainable Oil Palm di sini semalam.
Hadir sama dalam seminar itu ialah Pengerusi MPOA Cawangan Terengganu, Che Ku Hafeez Che Ku Denang.
Tambah Rosli, seminar anjuran MPOA itu memberikan lebih ruang dan peluang kepada pemain-pemain industri dalam negeri Terengganu untuk terus berkembang.
"Inilah kenapa perlunya seminar pada hari ini dibuat, tentang bagaimana kita meningkatkan produktiviti dengan menggunakan saiz tanah yang sama.

"Dalam keadaan sekarang, peranan kerajaan negeri amat terbatas berikutan semua polisi ditetapkan di peringkat nasional.
"Namun demikian, kita menyeru anak-anak syarikat supaya berusaha meningkatkan produktiviti dan juga kawalan kos di dalam operasi mereka supaya syarikat-syarikat kita masih boleh kekal bersaing. Alhamdulillah, kita masih lagi boleh kekal bersaing," jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan statistik rasmi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), keluasan tanaman kelapa sawit di Terengganu pada akhir 2025 adalah sebanyak 163,717 hektar berbanding 164,107 hektar pada tahun 2024.

Namun, berlaku peningkatan komposisi kawasan matang sebanyak 1,197 hektar kepada keseluruhan 143,593 hektar bagi tahun 2025.