SETIU, 24 Jun – Demam bola sepak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi kembali membara apabila Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Jabi 2026 kini membuka tirai pendaftarannya secara rasmi.
Kejohanan yang disifatkan sebagai antara yang paling berprestij di kawasan berkenaan bakal mengumpulkan pasukan-pasukan tempatan terbaik demi merebut gelaran juara serta hadiah wang tunai keseluruhan mencecah ribuan ringgit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menyeru agar kelab-kelab bola sepak tempatan segera mendaftarkan pasukan masing-masing.
Membawa tema "Semangat Sukan, Merapatkan Ukhuwah", kejohanan kali ini bertujuan untuk memperkukuh silaturahim sesama komuniti, menyemarakkan budaya bersukan, serta melahirkan generasi muda yang sihat dan aktif.
Pihak penganjur, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi memaklumkan bahawa slot penyertaan bagi kejohanan edisi kali ini adalah sangat terhad kepada 16 pasukan sahaja. Langkah ini bagi memastikan kualiti dan kelancaran jadual perlawanan berada pada tahap yang terbaik.
Berikut adalah tarikh-tarikh penting yang perlu diperhatikan oleh pengurus pasukan iaitu Taklimat Pengurus Pasukan pada 25 Jun 2026 (Khamis), jam 9.15 malam bertempat di Pejabat ADUN Jabi.
Manakala tarikh tutup penyertaan dan undian pula pada 10 Julai (Jumaat), jam 9.15 malam. Seterusnya, tarikh kejohanan bermula 18 Julai 2026 (Sabtu), jam 4.00 petang bertempat di Padang Bola Sepak Kg. Tasik Mengkuang.
Kejohanan edisi 2026 ini menawarkan ganjaran tunai yang cukup menarik bagi menghargai komitmen dan mutu permainan pasukan bertanding.
"Johan akan membawa pulang wang tunai RM 2,500 serta piala. Manakala Naib Johan pula RM 1,500 , tempat ketiga RM 1,000 dan tempat keempat RM 700 semua pemenang akan disertakan pingat,"katanya.
Bagi peminat sukan bola sepak tempatan dan pengurus pasukan yang berminat untuk menyertai saingan ini, anda boleh merujuk maklumat lanjut pada poster rasmi kejohanan atau segera hadir ke Pejabat ADUN Jabi untuk urusan pendaftaran sebelum slot penuh.
Daftar sekarang dan buktikan pasukan anda adalah juara Jabi yang sebenar!
Tag :