Jalur Gemilang
Berita :
Projek Hidrogen Hijau Paka Dijangka Mula Dibangunkan Awal 2027
Projek Hidrogen Hijau Paka Dijangka Mula Dibangunkan Awal 2027
Mastura Jamal Din
29 minit yang lepas
38

KUALA TERENGGANU, 17 November - Projek Paka Green Hydrogen Plant (PGH2P) di Kawasan Perindustrian Kuala Paka dijangka memulakan kerja-kerja pembangunan fizikal di tapak pada awal 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihak pemaju kini dalam proses mendapatkan kelulusan serta memenuhi keperluan teknikal sebelum projek berkenaan dilaksanakan.

Beliau berkata, pihak pemaju telah mengadakan sesi rundingan awal (pre-consultation) bersama jabatan teknikal, agensi berkaitan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mendapatkan pandangan serta ulasan awal berhubung aspek teknikal, perancangan dan pematuhan syarat pembangunan.

“Pihak pemaju turut mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang kepada PBT yang merangkumi Pelan Susun Atur, Pelan Kerja Tanah dan Pelan Infrastruktur untuk semakan, pertimbangan serta kelulusan.

"Pelaksanaan projek ini tertakluk kepada kelulusan Kebenaran Merancang, kelulusan teknikal serta pematuhan semua syarat dan keperluan yang ditetapkan pihak berkuasa serta agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas (Bajet), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Industri bersama Nova ER Suria Sdn. Bhd. pada 7 September 2026 bagi pembangunan PGH2P membabitkan kawasan seluas 15 ekar.

“Projek berkenaan selaras dengan pendekatan kerajaan negeri untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar, bagi menyokong aktiviti pengeluaran industri bernilai tambah tinggi termasuk hidrogen hijau dan produk hilirannya.

“Pendekatan itu juga bertepatan dengan penekanan PMINT supaya pembangunan tenaga solar di kawasan perindustrian memberi nilai tambah kepada aktiviti pengeluaran dan operasi industri, bukannya sekadar tertumpu kepada pembangunan ladang solar secara pasif,” ujarnya lagi.

Justeru, pembangunan PGH2P berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem industri hijau bersepadu di Terengganu menerusi gabungan penjanaan tenaga boleh baharu, pengeluaran hidrogen hijau serta pembangunan industri hiliran.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan