Jalur Gemilang
Berita :
Sidang DUN Terengganu Mungkin Yang Terakhir Penggal Ini – Speaker
Sidang DUN Terengganu Mungkin Yang Terakhir Penggal Ini – Speaker
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
369

KUALA TERENGGANU, 16 November – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ini berkemungkinan menjadi yang terakhir bagi penggal ke-15, mengambil kira perkembangan politik semasa negara termasuk kemungkinan pembubaran awal Parlimen.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kemungkinan itu menjadikan persidangan bajet kali ini lebih signifikan, khususnya dalam menilai pencapaian serta keberkesanan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang penggal pentadbiran.

Menurutnya, persidangan tersebut bukan sekadar medan membahaskan dasar dan meluluskan peruntukan kewangan, sebaliknya menjadi ruang penting untuk menilai sejauh mana amanah rakyat telah dilaksanakan.

"Warisan paling bermakna yang dapat ditinggalkan oleh DUN Kelima Belas bukan sekadar jumlah persidangan yang berlangsung atau peruntukan yang diluluskan, tetapi sejauh mana Dewan ini berjaya melaksanakan amanah rakyat dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mohd Nor berkata, kewibawaan sesebuah institusi legislatif tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah undang-undang atau peruntukan yang diluluskan semata-mata, tetapi melalui keberkesanan dasar serta manfaat yang benar-benar diterima rakyat.

Katanya, setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan perlu diterjemahkan kepada pentadbiran yang telus, berkesan serta bertanggungjawab.

Mengulas perkembangan politik negara, beliau berkata, perubahan hubungan dan kerjasama antara parti politik serta kemungkinan pembubaran awal Parlimen mencerminkan landskap politik yang semakin dinamik.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa kestabilan pentadbiran, penghormatan terhadap mandat rakyat dan keluhuran institusi demokrasi mesti terus dipelihara tanpa mengira perubahan politik yang berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nor turut mengucapkan tahniah kepada parti dan gabungan politik yang memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November lalu.

Beliau menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai peringatan bahawa setiap kepimpinan sentiasa tertakluk kepada penilaian dan kepercayaan rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, DUN Terengganu terus memperkukuh hubungan dengan institusi legislatif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi penyertaan dalam beberapa persidangan utama.

Antaranya kata beliau, Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2026 di Cameron Highlands, Pahang pada 6 hingga 9 September serta Persidangan Parlimen Komanwel Ke-69 di Cape Town, Afrika Selatan pada 13 hingga 19 September lalu.

Menurutnya, penyertaan itu membolehkan DUN Terengganu berkongsi pengalaman, mempelajari amalan terbaik dan meningkatkan profesionalisme pengurusan institusi legislatif negeri.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan