KUALA TERENGGANU, 16 November – Kemudahan TikTok Shop Studio yang disediakan kerajaan Terengganu untuk usahawan tempatan merekodkan 244 tempahan slot dengan jumlah jualan RM31,210.46 sejak mula beroperasi pada awal September hingga 15 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, sambutan itu menunjukkan usahawan tempatan semakin menerima pemasaran digital untuk mengembangkan perniagaan.
“Penggunaan studio TikTok menunjukkan permintaan sangat baik apabila slot penggunaannya secara purata sentiasa penuh sehingga enam slot sehari.
“Pencapaian ini membuktikan usahawan Terengganu semakin bersedia menggunakan teknologi sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ariffin turut memaklumkan kerajaan negeri menetapkan 2027 sebagai Tahun Usahawan Digital Terengganu (T-DiT) bagi mempercepatkan transformasi digital usahawan tempatan.
Menurutnya, inisiatif menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) itu dirangka untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran digital, selain membantu usahawan meningkatkan kecekapan operasi serta memperluas pasaran.

Usaha itu turut melibatkan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang dianggotai 40 agensi keusahawanan persekutuan dan negeri.
Katanya, PEUTER akan menyelaras program serta inisiatif pendigitalan bagi memastikan usahawan tempatan tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi.