Kemaman, 9 Julai- Kerajaan Negeri Terengganu membuktikan komitmennya dalam membela nasib golongan memerlukan apabila mengagihkan sumbangan tunai berjumlah RM100,000 hasil daripada keuntungan projek penternakan negeri kepada 400 penerima dalam kalangan kumpulan B40 dan e-Kasih, semalam.
Sumbangan yang diagihkan secara serentak di seluruh daerah itu merupakan hasil kejayaan pelbagai projek penternakan di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu yang kini telah berjaya dipulihkan sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, antara inisiatif yang mencatatkan keberhasilan tinggi termasuklah Projek Reban Ayam Pedaging serta projek penternakan lembu.
Menurut beliau, pelaksanaan projek ini menggunakan model strategik di mana pihak kerajaan negeri bertanggungjawab membina infrastruktur reban, manakala operasinya pula diserahkan sepenuhnya untuk diuruskan oleh pengusaha tempatan.
Melalui model ini, ia menjadi satu usaha serampan tiga mata oleh kerajaan negeri.
“ Ia dapat meningkatkan unjuran pengeluaran makanan serta mengukuhkan keterjaminan bekalan di peringkat negeri. Selain itu, membuka ruang dan memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk menceburi bidang perniagaan serta membantu meringankan beban kebajikan rakyat khususnya daripada kelompok e-Kasih menerusi pulangan keuntungan yang dijana.”

"Alhamdulillah, petang semalam secara serentak di seluruh daerah, kita agihkan sumbangan tunai hasil keuntungan ini bernilai RM100,000 kepada 400 penerima yang layak di seluruh negeri.
"Walaupun nilai sumbangan bagi setiap penerima mungkin tidak besar, namun prinsip kita adalah 'sedikit sama dirasa' agar limpahan ekonomi ini dapat dinikmati bersama," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penyerahan Sumbangan Pendapatan Program Penternakan di Dewan Sivik Air Putih, di sini.

Sesi penyerahan di dewan berkenaan melibatkan para penerima dari kawasan daerah Kemaman dan Dungun.
Menariknya, Dr. Azman memilih untuk tidak menyampaikan sebarang ucapan rasmi pada majlis tersebut demi keselesaan para penerima yang hadir.
"Saya tidak berucap apa-apa, hanya hadir untuk serah sumbangan sahaja. Kesian kepada orang tua-tua dan warga emas yang hadir kalau terpaksa tunggu lama semata-mata mahu mendengar ucapan kita. Yang penting, bantuan sampai ke tangan mereka," ujarnya lagi.

Inisiatif pengagihan semula keuntungan hasil projek kerajaan negeri ini diharapkan dapat meringankan beban kos sara hidup para penerima, di samping menyuntik semangat kepada komuniti penternak tempatan untuk terus memajukan sektor agromakanan di Terengganu.