KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Pendakwah bebas, PU Rahmat (Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan) dan selebriti Shamsul Azahar Aliddin atau lebih dikenali sebagai Pak Su Shamsul Ghau Ghau menyertai program Street Dakwah anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DU'AT) bagi mendekati masyarakat menerusi pendekatan dakwah santai.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa pendekatan ini menunjukkan bahawa penyampaian dakwah tidak terhad kepada satu kaedah semata-semata.

"Dan cara ingat mengingati ini pelbagai cara, bukan sahaja melalui ceramah tapi juga melalui program santai seperti ini.
"Kita jumpa secara bersemuka depan-depan dengan rakyat, dengan masyarakat daripada pelbagai segmen," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas program berkenaan di KTCC Mall, di sini, petang tadi.
Beliau berkata, program seumpama itu akan dilaksanakan secara berkala mengikut kesesuaian bagi memastikan usaha saling mengingatkan ke arah kebaikan dapat diteruskan dalam kalangan masyarakat.
"Mudah-mudahan program sebegini insya-Allah akan dapat dilaksanakan lagi pada masa-masa yang akan datang.
"Saya mewakili Kerajaan Negeri, saya ucap terima kasih kepada Pak Su Shamsul Ghau Ghau dan juga PU Rahmat kerana sudi datang ke Negeri Terengganu untuk menceriakan lagi program-program dakwah kita," ujarnya.

"Alhamdulillah mereka bersama untuk turun padang bersama kami atas dasar kebersamaan dalam menjayakan program dakwah di samping dengan kedudukan mereka sebagai pempengaruh adalah merupakan satu pencapaian yang tinggi untuk misi santai dakwah kami pada petang ini," katanya.
Menurutnya, program berkenaan menerima sambutan baik daripada masyarakat setempat yang turut menerima risalah dakwah diedarkan sepanjang aktiviti berlangsung.
Program itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi dengan penglibatan kira-kira 100 kakitangan DU'AT bersama Sahabat DU'AT bagi menyantuni masyarakat dan menyampaikan mesej dakwah.

Jelasnya, penganjuran kali ini membawa mesej solidariti bersama umat Islam di Palestin bersempena sambutan memperingati Taufan Al-Aqsa.
"Dan kali ini bersempena dengan gema sambutan memperingati Taufan Al-Aqsa di samping kita berkempen untuk mengingatkan masyarakat berkenaan dengan solidariti kita bersama saudara Islam di Bumi Palestin," ujarnya