lightning-solid
Berita :
Restorasi Karang Pulau Redang Hidupkan Semula Habitat Marin
Restorasi Karang Pulau Redang Hidupkan Semula Habitat Marin
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
87

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Usaha memulihkan terumbu karang di perairan Pulau Redang mula menunjukkan hasil positif apabila benih karang yang ditanam berkembang membentuk koloni baharu, sekali gus membantu menghidupkan semula habitat marin yang terjejas.

Pegawai Perikanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, Izarenah Mad Repin berkata, program restorasi di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang dilaksanakan bagi memulihkan kawasan terumbu karang yang mengalami kerosakan akibat kelunturan karang dan beberapa siri ribut.

Katanya, kawasan berkenaan antara yang terjejas teruk susulan kejadian kelunturan karang kira-kira dua tahun lalu.

“Hasrat kita adalah untuk menanam semula fragmen karang bagi membolehkan habitat karang di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang dipulihkan.

“Secara keseluruhannya, perkembangan karang adalah positif apabila fragmen atau benih karang yang ditanam menunjukkan pertumbuhan dan mula membentuk koloni lebih besar apabila keadaan persekitaran sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Restorasi Karang di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang, baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Perikanan Negeri Terengganu itu turut disertai wakil kerajaan negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim.

Turut terlibat ialah penyelam daripada Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan serta pasukan penyelam negeri.

Menurut Izarenah, sebahagian koloni dan fragmen karang yang ditanam sejak tiga tahun lalu terus menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, perkembangan itu membuktikan kaedah restorasi mampu membantu mempercepat proses pemulihan habitat sekiranya dilaksanakan di lokasi dan dalam keadaan persekitaran yang sesuai.

“Apabila terumbu karang dibaik pulih, kita boleh melihat kehadiran ikan semakin banyak kerana terumbu karang menjadi tempat perlindungan, khususnya bagi anak-anak ikan.

“Apabila terdapat anak ikan, ikan yang lebih besar pula akan hadir untuk mendapatkan makanan dan keadaan ini membentuk satu rantaian makanan yang kompleks,” katanya.

Izarenah berkata, fungsi terumbu karang tidak hanya terhad sebagai tempat hidupan marin berlindung, malah menjadi kawasan pembiakan dan sumber makanan kepada pelbagai spesies.

“Apabila habitat terumbu karang kembali baik dan sihat, pelbagai hidupan marin akan tumbuh dan hadir di kawasan tersebut.

“Ini membolehkan fungsi sebenar ekosistem terumbu karang kembali berjalan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata proses restorasi bukan penyelesaian yang memberikan hasil dalam tempoh singkat kerana kadar pertumbuhan dan kelangsungan hidup karang sangat bergantung kepada keadaan laut.

Antara faktor utama yang mempengaruhi kejayaan restorasi ialah suhu air, kualiti perairan, perubahan cuaca serta gangguan fizikal di kawasan berkenaan.

Justeru, katanya, pemantauan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan karang yang ditanam mampu bertahan, berkembang dan akhirnya membentuk ekosistem yang stabil.

Usaha itu penting bukan sahaja untuk mengembalikan biodiversiti marin, malah memastikan kawasan terumbu karang di Pulau Redang terus berfungsi sebagai habitat, kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan laut dalam jangka panjang.


Tag :

Artikel Berkaitan