Berita :
Ribuan Banjiri Jamuan Raya DUN Jabi, Semangat Gotong-Royong Jadi Nadi
Ribuan Banjiri Jamuan Raya DUN Jabi, Semangat Gotong-Royong Jadi Nadi
Hidayah Azlin
7 jam yang lepas
137

JABI, 19 April – Semangat perpaduan dan gotong-royong warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi jelas terpancar apabila majlis sambutan hari raya yang diadakan di Padang Bola Bukit Tanah, di sini, berjaya diadakan dan menerima kunjungan luar biasa ribuan penduduk setempat sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang panjang.


Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi itu menyaksikan penglibatan menyeluruh pelbagai jentera termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabtan Unit Amal, Pemuda, Ameerah, Muslimat, serta sukarelawan tempatan yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran program.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keunikan majlis kali ini adalah pada penyediaan menu utamanya yang dilakukan secara rewang atau gotong-royong seawal petang lagi.

"Kekuatan semangat kerjasama ini dizahirkan apabila seekor lembu baka Charolais bersaiz lapan kawah telah disembelih pada jam 3.30 petang.


"Hasil kecekapan petugas, gulai kawah tersebut berjaya disiapkan sepenuhnya kira-kira jam 6 petang untuk dihidangkan kepada tetamu. Ia satu pencapaian yang sangat pantas dan efisien," katanya. 


Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dun Jabi di Padang Bola Kampung Bukit Tanah, Jabi. 

Selain menu utama gulai kawah, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai juadah tradisional dan santapan popular seperti ketupat, lemang, nasi dagang, laksa, serta ayam golek yang disediakan oleh JPKK dari seluruh pelbagai cawangan dalam DUN Jabi.


Suasana di tapak program dilaporkan mula meriah sebelum jam 8 malam lagi dengan kehadiran pengunjung tidak mengira kaum yang tidak putus-putus, sehingga aliran trafik dari arah Kampung Tempinis dilaporkan mengalami kesesakan.


Mengulas mengenai sedikit gangguan teknikal apabila bekalan nasi habis buat seketika akibat jumlah kehadiran yang mencecah ribuan orang, Dr Azman memuji tindakan pantas jawatankuasa terlibat.


"Barisan cef kita yang berpengalaman segera mengambil tindakan kecemasan dan keadaan berjaya diuruskan dengan baik.


"Saya dan isteri (Che Da) memohon maaf sekiranya ada pengunjung yang tidak sempat merasai gulai kawah atau terdapat kekurangan sepanjang majlis berlangsung," ujarnya.


Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengarah program, jawatankuasa pelaksana, serta semua warga DUN Jabi yang hadir memeriahkan majlis tersebut sebagai tanda sokongan dan ukhuwah sesama masyarakat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan