lightning-solid
Berita :
RM350,000 Jayakan Projek Fertigasi Cili PAIST
RM350,000 Jayakan Projek Fertigasi Cili PAIST
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
30

HULU TERENGGANU, 21 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi membiayai Projek Tanaman Fertigasi Cili yang bakal diusahakan oleh Pertubuhan Anak-Anak Istimewa Hulu Terengganu (PAIST).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, projek yang terletak di Kompleks Pertanian Negeri, Ajil itu merupakan satu langkah proaktif dalam memperkasakan golongan istimewa melalui sektor pertanian moden.

Menurut beliau, projek tersebut bakal melibatkan penanaman cili dengan kapasiti sebanyak 2,500 polibeg.

6305135948039130471.jpg 175.61 KB
"Skop projek ini sangat komprehensif, merangkumi pembinaan rumah pam, rumah operasi yang dilengkapi tangki air dan baja, serta sistem saliran dan sistem fertigasi yang lengkap.

"Kita mahu memastikan setiap kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik bagi memastikan kelestarian projek ini di bawah seliaan PAIST," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Dr. Azman, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negeri, malah menjadi medium latihan dan pendedahan kepada golongan anak-anak istimewa dalam bidang agro-teknologi.

6302916145731800552.jpg 92.48 KB
Jelasnya lagi, penggunaan sistem fertigasi dilihat sebagai kaedah yang paling sesuai kerana ia lebih efisien, menjimatkan tenaga kerja serta mampu menghasilkan tuaian yang lebih berkualiti berbanding kaedah konvensional.

Projek ini dijangka bakal menjadi model kepada penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi ahli melalui sektor keterjaminan makanan.


Tag :

Artikel Berkaitan