KEMAMAN, 12 Oktober – Pelaburan berjumlah RM450,000 oleh Infinite Flexible PLT bagi menaik taraf gelanggang futsal sedia ada kepada tiga gelanggang pickleball di Kampung Mak Chili dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan dan aktiviti rekreasi dalam kalangan masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat, berkata inisiatif berkenaan membuktikan bahawa kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta mampu menghasilkan kemudahan sukan berkualiti yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, perasmian gelanggang berkenaan bukan sekadar menandakan pembukaan sebuah kemudahan sukan baharu, malah membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat, menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan perpaduan komuniti.
“ Sukan pickleball yang semakin mendapat perhatian ini mempunyai potensi besar untuk menjadi tarikan baharu di Kemaman, sekali gus membuka peluang kepada penganjuran kejohanan, pembangunan bakat sukan dan pelbagai aktiviti rekreasi untuk semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian gelanggang pickleball berkenaan yang berlangsung semalam.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama menjaga kemudahan berkenaan supaya dapat digunakan secara berterusan dan memberikan manfaat kepada generasi akan datang.
“Gelanggang yang hebat bukan hanya diukur melalui kualiti kemudahannya, tetapi juga melalui semangat yang tercipta, bakat yang dilahirkan dan komuniti yang disatukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Infinite Flexible PLT, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembangunan kemudahan sukan tersebut.
Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan rekreasi masyarakat, malah menyumbang kepada pembangunan sukan di peringkat tempatan.
Beliau berharap gelanggang pickleball di Kampung Mak Chili itu akan terus berkembang sebagai pusat aktiviti sukan dan rekreasi yang mampu membanggakan seluruh warga Kemaman.
